Harian Metro

Tahan lelaki belasah remaja bawah flat

-

Johor Bahru: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang remaja lelaki berusia 17 tahun cedera parah akibat diserang sekumpulan 15 lelaki di bawah flat di Bandar Seri Alam, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, suspek berusia 26 tahun itu ditahan 9 pagi semalam di Bandar Seri Alam selepas identitiny­a disiarkan menerusi laman sosial Facebook (FB) rasmi Polis Johor, kelmarin.

“Daripada 15 lelaki yang terbabit dalam serangan berkenaan, kami dapat mengenal pasti seorang daripada mereka dan identitiny­a disiarkan semalam (kelmarin) menerusi FB Polis Johor sebagai individu dikehendak­i.

“Pagi ini (semalam), kami menahan suspek terbabit bersama sebuah kereta di Bandar Seri Alam dan hasil siasatan awal suspek adalah penduduk sekitar lokasi kejadian serta tidak mempunyai rekod jenayah,” katanya ketika sidang media selepas perhimpuna­n bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.05 pagi, mangsa parah di belakang badan dan kepala apabila diserang selepas dikatakan menegur dua daripada 15 suspek berkenaan yang memasang lagu serta muzik dengan kuat melalui pembesar suara kereta mereka yang diletakkan di kawasan berkenaan.

Akibat teguran itu, berlaku pertengkar­an sehingga mencetus pergaduhan kecil antara mereka sebelum datang sekumpulan lelaki lain dipercayai rakan suspek dengan menaiki kereta serta beberapa motosikal.

Semua suspek berusia 20-an mengerumun­i mangsa dan terdapat beberapa suspek turut membawa parang dan pisau dalam kejadian itu.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

flat

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia