Harian Metro

Shafie gagal batal perintah reman

-

Kota Kinabalu: Tahanan reman terhadap Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal disambung empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan lanjut kes penyelewen­gan dana Kementeria­n Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) membabitka­n nilai RM1.5 bilion.

Majistret Cindy McJuce Balitus membuat keputusan itu selepas menerima permohonan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebelum ini, SPRM menahan reman Mohd Shafie, 60, yang juga bekas Menteri KKLW sejak Jumaat lalu.

Terdahulu, pada prosiding berasingan di Mahkamah Tinggi, di sini, Mohd Shafie menerusi barisan peguamnya gagal dalam permohonan untuk semakan semula perintah remannya sebelum ini.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjay­a Kehakiman Ismail Brahim. Difahamkan, kira-kira 300 penyokong WARISAN berhimpun untuk memberi sokongan kepada Mohd Shafie di luar pekarangan mahkamah, di sini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu Datuk Mohd Yusof Apdal dibebaskan daripada tahanan reman berhubung siasatan kes penyelewen­gan dana KKLW berkenaan, semalam.

Cindy ketika membuat keputusan itu turut memerintah­kan Mohd Yusof diikat jamin RM100,000 dengan deposit RM50,000.

Sebelum ini, Mohd Yusof ditahan reman oleh SPRM sejak 18 Oktober lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Setakat ini, SPRM menahan reman 13 individu berkaitan kes berkenaan, masing-masing 10 orang di Sabah dan tiga lagi di Putrajaya.

Di Sabah, selain Mohd Yusof dan Mohd Shafie, individu lain yang ditahan reman ialah Hamid Apdal, 53, yang juga seorang ahli perniagaan serta menantu Hamid iaitu Manzur Hussien Awal Khan, 33.

 ??  ?? MOHD Shafie diiringi pegawai SPRM keluar dari Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bagi proses lanjutan tahanan reman.
MOHD Shafie diiringi pegawai SPRM keluar dari Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bagi proses lanjutan tahanan reman.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia