Harian Metro

UiTM FC buru tiga mata

- Nazri Abu Bakar sukanteam@nstp.com.my

Melaka: UiTM FC mahu memastikan mereka mampu meraih tiga mata pada aksi terakhir Liga Perdana berdepan Kuantan FA di Stadium UiTM, Shah Alam, Jumaat ini.

Jurulatih UiTM FC, Wan Mustaffa Wan Ismail berkata, walaupun pasukan itu gagal ke Liga Super dan kekal di Liga Perdana musim depan, namun kemenangan amat penting bagi memastikan kedudukan di tangga keenam kekal menjadi milik mereka.

Ia kerana kedudukan itu boleh tergugat seandainya Sabah berjaya menundukka­n Negeri Sembilan sambil pasukannya tewas kepada Kuantan FA.

Katanya, perjuangan pasukan pada hari terakhir liga juga adalah untuk menjaga maruah The Lion Troops bagi memastikan kemenangan mampu dicatat di gelanggang sendiri.

Menurutnya, Kuantan FA juga bukan pasukan yang mudah untuk ditewaskan tambahan mereka memiliki pemain muda dan import yang baik.

“Apapun, yang penting pasukan mampu untuk menterjema­h permainan terbaik dengan setiap pemain perlu melaksanak­an tugasan dengan penuh dedikasi.

“Malah, mereka perlu membuktika­n kewibawaan masing-masing berikutan perlawanan ini juga medan pemilihan pemain untuk skuad Liga Perdana UiTM bagi saingan musim 2018,” katanya.

Bahang saingan Liga Super musim ini akhirnya sampai ke penghujung, namun ia bukan lagi berkisar dengan soal perebutan kejuaraan kerana Johor Darul Ta’zim (Johor DT) sudah menjulang trofi lebih awal.

Sebaliknya, debaran kini menjadi milik T-Team, Sarawak dan Kelantan kerana masing-masing masih lagi bergelut untuk mengelak daripada tersingkir ke Liga Perdana, mengiringi Pulau Pinang yang jauh terperosok di dasar liga.

Kedudukan Kelantan yang juga juara Liga Super 2011 dan 2012 itu lebih kritikal apabila menduduki tangga ke-11 dengan mengumpul 19 mata dan tiada pilihan selain menang ke atas Melaka United dalam aksi terakhir di Stadium Hang Jebat jika tidak mahu kembali ke kancah Liga Perdana sejak 2009.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia