Harian Metro

Bumbung beratap langit

Bapa tunggal lima anak berteduh di rumah usang sejak empat tahun lalu

- Khairul Najib Asarulah Khan am@hmetro.com.my

Bumbung beratapkan langit dan kadangkala bermalam dalam kereta ketika hujan antara kehidupan dilalui bapa tunggal bersama lima anak yang terpaksa berteduh di sebuah rumah usang di Kampung Baru Bukit Temiang, di sini, sejak empat tahun lalu.

Abu Salleh, 61, yang mempunyai lima anak berusia 14 hingga 26 tahun berkata, ada kalanya mereka sekeluarga berteduh dalam bilik utama jika keadaan memaksa untuk berbuat demikian.

Menyingkap kehidupan dilalui, dia berkata, keadaan itu berlaku selepas mereka dihimpit kesusahan hidup sehingga tidak mampu menggantik­an bumbung rumah yang bocor.

“Dua anak sudah bekerja dan menyewa bilik bersama rakan manakala seorang lagi anak sudah berkahwin tinggal bersama isterinya di Ampangan.

“Namun apabila hujung minggu, mereka pulang dan terpaksa menginap di rumah semakin uzur ini,” katanya.

Dia ditemui ketika menerima lawatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan untuk mengenal pasti projek pembinaan semula rumah atau baik pulih rumah menerusi program Strategi Lautan Biru Kebangsaan 2018, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah JBPM negeri, Norazam Khamis dan Pengerusi Gabungan Persatuan Penduduk Kawasan Temiang, Titan Ho Kok Yew.

Abu berkata, dia kini hanya bergantung hidup dengan duit pencen arwah isterinya daripada Pertubuhan Keselamata­n Sosial (Perkeso) sebanyak RM631 sebulan.

“Buat masa ini, saya tidak pernah pergi ke mana-mana jabatan atau agensi kerajaan lain bagi memohon bantuan. Namun saya berharap ada pihak tampil membantu meringanka­n beban kami sekeluarga,” katanya.

 ?? FOTO: KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN ?? ABU bimbang keadaan rumahnya yang semakin uzur di Kampung Baru Temiang.
FOTO: KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN ABU bimbang keadaan rumahnya yang semakin uzur di Kampung Baru Temiang.
 ??  ?? ABU bersama anak dan cucunya.
ABU bersama anak dan cucunya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia