Harian Metro

Tukar penampilan

- Sarah Zulkifli sarah@hmetro.com.my

 Imej CCTV dua suspek lelaki kes bunuh Jung-Nam berbeza

Dua suspek kes bunuh lelaki warga Korea Utara, Kim Chol yang masih bebas dilihat menukar penampilan mereka selepas kejadian mangsa didakwa dibunuh dengan agen saraf VX di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2), pada 13 Februari lalu.

Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang/KLIA, Asisten Superinten­dan Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz berkata, imej kedua-dua lelaki dikenali sebagai Mr Chang dan Mr Y dapat dilihat melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperolehn­ya di klia2.

“Mr Chang dan Mr Y mengubah penampilan masing-masing secepat mungkin selepas insiden Kim Chol (abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam) ‘diserang’ dua wanita kerana cuba menyembuny­ikan agenda,” katanya.

Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata, penampilan berbeza dua suspek lelaki terbabit dapat dilihat selepas dia berulang kali meneliti rakaman CCTV untuk membuat pengecaman dari segi bentuk badan, pergerakan dan pakaian digunakan.

“Apa yang saya perasan, walaupun mereka menukar penampilan, namun mereka tidak menukar kasut dan itulah elemen yang membantu saya membuat pengecaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad dalam kes bunuh dihadapi tertuduh pertama, Siti Aisyah, 25, yang juga warga Indonesia dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, yang didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Jong-nam, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur 2 (klia2), jam 9 pagi pada 13 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Menurut Wan Azirul, berdasarka­n rakaman CCTV, Mr Chang dilihat bertemu Siti Aisyah di restoran Bibik Heritage di Aras 3 klia2 jam 8.10 pagi pada 13 Februari lalu dan menyerahka­n tiket teksi kepada wanita itu.

“Ketika di restoran itu, Mr Chang dilihat memakai baju berwarna kelabu, kaca mata bingkai hitam, memegang beg plastik putih, memakai topi jenama ‘Adidas’ serta bermisai dan berjanggut.

“Namun, melalui rakaman CCTV mendapati Mr Chang dilihat mencukur misai dan janggutnya serta menukar baju berwarna merah, selain memegang plastik berwarna oren,” katanya. Katanya, hasil penelitian rakaman CCTV bagi Mr Y pula menunjukka­n lelaki itu bertemu Doan di Zon Hijau ke Balai Berlepas di klia2, jam 7.55 pagi.

“Dia yang pada mulanya memakai baju kelabu, memakai topi hitam dan menggalas beg itu kemudian memakai baju hitam serta tidak lagi membawa begnya,” katanya.

Menjawab soalan Muhamad Iskandar Ahmad berhubung peranan dan pembabitan empat suspek yang masih bebas dalam kejadian itu, Wan Azirul berkata, keempat-empatnya berada sebelum, semasa dan selepas kejadian berlaku.

Muhamad Iskandar: Apa maksud empat penama berada sebelum, semasa dan selepas?

Wan Azirul: Keempat-empat mereka ada dilihat dalam satu masa berjumpa, berhubung antara satu sama lain... jelas kelihatan mereka merancang pergerakan atau tindakan yang akan dilakukan selepas kejadian.

Muhammad Iskandar: Apakah peranan setiap suspek?

Wan Azirul: Hasil siasatan mendapati suspek Hanamori berperanan sebagai perancang kejadian itu. Dia dilihat tiba lebih dulu di tempat kejadian serta berjalan bersama James, malah Hanamori turut didatangi Mr Chang dan Mr Y di Restoran Bibik Heritage.

Muhamad Iskandar: Adakah anda menyiasat ke mana mereka pergi selepas keluar dari klia2?

Wan Azirul: Ya, ada. Mereka bertiga (Mr Y, Chang dan Hanamori) dikesan tiba di KLIA (Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur) dan dilihat bersama-sama di balai berlepas.

Muhamad Iskandar: Bagaimana dengan pergerakan seorang lagi suspek?

Wan Azirul: Selepas kejadian, Mr James dilihat menghala ke Hotel Sama-Sama KLIA dan masuk ke bilik hotel, sebelum mendaftar keluar dan seterusnya dilihat berada di balai berlepas KLIA.

Perbicaraa­n di hadapan Datuk Azmi Ariffin bersambung 6 November depan.

 ??  ?? SITI Aisyah (kiri) dan Doan (tengah) dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menghadiri perbicaraa­n kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Nam.
SITI Aisyah (kiri) dan Doan (tengah) dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menghadiri perbicaraa­n kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Nam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia