Harian Metro

Peluang cerah The City Boys

- Syafiq Aznan syafiq.aznan@bh.com.my

 Jaringan besar beri kelebihan skuad Warga Kota muncul juara Liga Perdana

Saingan Liga Perdana tetap hangat untuk disaksikan apatah lagi perebutan takhta bagi liga divisyen dua itu masih terbuka antara pendahulu, Kuala Lumpur dan Terengganu.

Selepas dua pasukan itu berjaya merebut slot automatik ke saingan Liga Super musim depan, mereka masih berpeluang merebut ‘hadiah sampingan’ yang ditawarkan iaitu trofi Liga Perdana untuk menutup musim penuh gemilang.

Dengan terikat menerusi pungutan 47 mata selepas 21 perlawanan, skuad The City Boys dilihat memiliki kelebihan menerusi jumlah perbezaan jaringan yang besar iaitu lapan gol ketika saingan hanya berbaki satu perlawanan lagi.

Hanya satu senario saja yang realistik buat anak buah Irfan Bakti Abu Salim merangkul gelaran Liga Perdana iaitu mereka perlu mengharapk­an Kuala Lumpur sekurang-kurangnya terikat dengan Johor Darul Ta’zim II (JDTII) sambil mereka menewaskan PKNP FC sekali gus muncul juara dengan kelebihan dua mata.

Bagaimanap­un, Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianath­an mengaku kelebihan jaringan yang dimiliki Kuala Lumpur meletakkan mereka di kedudukan lebih baik untuk muncul juara.

Menurut pengendali FELDA United itu, kedudukan pendahulu yang sedang dinikmati Kuala Lumpur juga dilihat akan menjadi motivasi terbesar memandangk­an sudah pasti mereka mahu terus berada pada kedudukan itu hingga hujung musim.

“Jika dilihat berdasarka­n lawan kedua-dua pasukan, Kuala Lumpur akan bertemu JDTII dan saya melihat JDTII sudah tidak ada apa-apa lagi yang perlu dipertaruh­kan. Tambahan pula mereka lebih selesa dengan perbezaan jaringan yang begitu besar.

“Manakala PKNP FC pula mempertaru­hkan kedudukan ketiga jadi mereka akan memberikan cabaran lebih sengit kepada Terengganu memandangk­an mereka mahukan penamat liga di kedudukan ketiga terbaik.

“Jika berdasarka­n beberapa faktor ini, saya menjangkak­an gelaran Liga Perdana akan menjadi milik Kuala Lumpur namun harus diingat mereka tidak boleh bersenang-lenang kerana mereka tetap memerlukan kemenangan untuk menjadi juara,” katanya ketika ditemui pada sidang media simposium dan anugerah kejurulati­han bola sepak Malaysia 2017 di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia