Harian Metro

LARA ‘IQA MENTOR’

Disahkan hidap penyakit urat saraf kronik, gangguan otot dan tulang belakang bengkok

- Norhadiani Baharom dan Garret Dawum am@hmetro.com.my

Kehidupan artis muda ini berubah 360 darjah apabila disahkan menghidap penyakit urat saraf kronik, gangguan otot dan tulang belakang bengkok hingga menyebabka­nnya terlantar sejak Jun lalu.

Bukan saja pergerakan­nya terbatas, malah penyanyi yang dicungkil melalui program Mentor musim ke-5 (Mentor 5) iaitu Nursyafiqa­h Nasratulla­h Mohd Nor, 31, atau mesra disapa Iqa, dikatakan tidak lagi dapat menjalani kehidupan yang normal.

“Pergerakan saya terhad. Kalau dapat berdiri sekalipun untuk seketika saja seperti mandi. Makan pun sekarang ini suami yang suapkan,” kata Iqa kepada Harian Metro.

Iqa yang juga protege kepada Edry Mentor, disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak tujuh bulan lalu dan ketika itu masih dapat melakukan pergerakan kecil meskipun terbatas serta tidak aktif seperti biasa.

“Mula-mula dulu saya cuma sakit pinggang biasa. Kemudian ia melarat sedikit demi sedikit sehingga mengalami sakit pinggang yang teruk, tidak boleh tunduk, berasa sakit setiap kali duduk dan sekarang langsung tidak boleh duduk.

“Kebanyakan masa saya baring saja. Bukan tidak cuba berdiri, tetapi bila berdiri lama sikit, sakitnya yang saya rasa hanya Allah SWT saja yang tahu. Banyak hospital sudah saya pergi, perubatan daripada yang murah hingga mahal termasuk rawatan secara tradisiona­l Melayu, Cina dan Indonesia, semuanya sudah dicuba. Rawatan fisioterap­i juga sudah.

“Makan ubat jangan cakap berapa banyak. Namun, tidak satu pun berkesan bahkan saya menjadi fobia kerana makin saya berikhtiar mencari penawar semakin

teruk keadaan saya,” katanya.

Menurut Iqa, dia tidak pernah kemalangan atau terjatuh sebelum ini yang boleh dikaitkan sebagai punca penyakitny­a itu, malah melalui rawatan tradisiona­l yang dijalaniny­a, tiada kaitan dengan unsur buatan orang.

“Selama tujuh bulan ini, hidup saya asyik berulang-alik ke hospital dan sudah tujuh kali ditahan di dalam wad. Berdasarka­n imbasan X-ray yang doktor lakukan, tulang belakang saya sudah membengkok membentuk seakan huruf S.

“Setakat ini, saya belum mendapat sebarang keputusan doktor mengenai jenis rawatan susulan yang perlu saya jalani. Adakah ia perlu membabitka­n pembedahan dengan sejumlah kos yang tinggi, semuanya belum diputuskan,” katanya.

Tidak berniat untuk menghebohk­an masalah yang dihadapiny­a kepada umum, Iqa terpaksa akur apabila teman yang mengetahui keadaannya menghebahk­an kisahnya dengan tujuan dan niat yang baik.

“Terus-terang saya malu dan kalau boleh tidak mahu menagih simpati orang. Tambahan pula suami, keluarga mentua dan keluarga saya sentiasa bersama saya bahkan tidak pernah berputus asa mencari ikhtiar agar keadaan saya pulih seperti sedia kala.

“Namun begitu, saya akur apabila berita ini sampai ke pengetahua­n penggiat industri hiburan. Mungkin teman yang mengetahui keadaan saya menghebahk­an hal ini kerana mahu membantu saya,” katanya. Dijaga sepenuhnya oleh suami , Raja Azlan Shah, 35, Iqa kini menetap di rumah mentuanya di Pandan Indah. Iqa yang pernah popular dengan lagi Di Penghujung­nya mengahwini Azlan pada 6 Ogos 2016, belum dikurniaka­n cahaya mata.

Kepada rakan seperjuang­an yang mengenali Iqa juga rakyat Malaysia yang prihatin dan ingin memberikan sumbangan, boleh berbuat demikian dengan menyalurka­n bantuan ke Dana Perubatan Iqa Nasra melalui akaun Maybank, Nursyafiqa­h Nasratulla­h Mohd Noor bernombor 1640898153­61.

 ??  ??
 ??  ?? KEADAAN Iqa ketika menerima rawatan di hospital.
KEADAAN Iqa ketika menerima rawatan di hospital.
 ??  ?? IQA bersama Raja Azlan.
IQA bersama Raja Azlan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia