Subsidi RM100 hemodialisis
Pemberian subsidi RM100 ringgit kepada pesakit buah pinggang menjalani rawatan hemodialisis seperti yang diumumkan dalam Bajet 2018 semalam, adalah satu langkah yang amat diperlukan terutama dalam meringankan beban menampung kos rawatan terlalu tinggi.
Bagaimanapun, kerajaan juga perlu meneliti dan menangani punca utama yang menyebabkan peningkatan bilangan pesakit buah pinggang di negara ini dengan memberi fokus terhadap usaha pencegahan.
Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM) Dr Zubaidi Ahmad berkata, usaha kerajaan menyalurkan peruntukan besar dalam membantu pesakit berkenaan perlu diseimbangkan dengan inisiatif bersifat pencegahan di mana ia berupaya menjimatkan kos berbanding kos rawatan.
“Ini sebenarnya adalah satu bajet yang menarik apabila kerajaan berterusan memberikan tumpuan dalam meringankan beban pesakit buah pinggang menjalani rawatan hemodialisis.
“Namun, saya berpendapat perbelanjaan kerajaan terhadap usaha merawat ini akan terus meningkat pada masa akan datang sekiranya kita tidak menangani punca sebenar peningkatan pesakit ini. Satu langkah drastik perlu diambil supaya peningkatannya dapat dikawal dengan baik.
“Seperti yang kita tahu, kos merawat lebih mahal daripada mencegah dan ini juga perlu diberi tumpuan oleh kerajaan. Apa yang membimbangkan ialah kini terdapat ramai pesakit muda yang terpaksa menjalani rawatan hemodialisis sedangkan mereka berada pada usia produktif dan sepatutnya membantu membangunkan negara,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM50 juta untuk bantuan hemodialisis dengan subsidi RM100.