MALU CERITA TOKOK TAMBAH
“Selepas kisah kami tular di media sosial, saya malu nak keluar rumah. Ibu yang tinggal di Pahang terus jatuh sakit, manakala ayah terpaksa tebalkan muka untuk pergi kerja,” kata Siti Norenliriana Mohd Fakeri, 30, seorang daripada 11 penghuni kediaman kotor dan tidak terurus di Taman Rambai Jaya, Bukit Rambai, di sini, ketika ditemui, semalam.
Siti Norenliriana berkata, kecaman netizen selain komen yang ditokok tambah mengenai keadaan rumah mereka menyebabkan dia dan keluarganya berasa amat tertekan serta menanggung malu.
“Orang (netizen) tidak duduk di tempat saya tidak faham situasi kami yang sebenar, macam mana boleh kata begitu. Jadi tolonglah berhenti menjaja cerita tidak benar dan tokok tambah.
“Memang benar keadaan rumah saya begitu tapi jangan buat kesimpulan yang bukan-bukan. Kasihan ibu, kesihatannya terjejas selepas kisah rumah kami tular. Ayah pula segan untuk ke tempat kerja,” katanya selepas menerima kunjungan Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Zainal Salam dan Ketua UMNO Cawangan Paya Lebar, Rosmani Kamarudin di rumahnya, semalam.
Ibu tunggal itu berkata, atas bantuan dan keprihatinan semua pihak, dia sekeluarga kini berusaha membuka buku baru serta membuktikan perangai mereka bukan seperti digambarkan netizen menerusi media sosial.
Tertekan akibat dikecam netizen, ibu kepada enam anak itu berkata, dia terpaksa mendapatkan khidmat kaunseling, selain setuju tiga anaknya iaitu Muhd Shawal Yuzy Sharif, 13, Puteri Norisha Alyya Sharif, 11, dan Puteri Sahara Sofia Sharif, 9, ditempatkan di asrama kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Katanya, mereka sekeluarga mula mendiami semula rumah itu Rabu lalu, manakala tiga anaknya dijangka berpindah ke asrama kendalian minggu depan.
Sementara itu, Zainal berkata, netizen tidak sepatutnya mengecam keluarga berkenaan, sebaliknya menyelidik latar belakang mereka terlebih dulu sebelum berkongsi komen di media sosial.
“Pada saya, bantuan kerajaan negeri dengan semua sukarelawan adalah atas dasar tanggungjawab. Kita berjaya selesaikan 95 peratus masalah Siti Norenliriana terutama persekolahan tiga anaknya yang terabai sebelum ini.
“Tak perlulah keruhkan lagi keadaan, kasihan dia dikecam. Orang tak tahu masalah dia, jadi tak perlu buat andaian,” katanya.
JKM