PROGRAM TRAVELOG GUNA PLATFORM SWAFOTO
Budaya ‘selfie’ sekarang menjadi trend dan gaya terkini dalam kalangan remaja mahupun sesiapa sahaja. Selfie dianggap sebagai cara mengabadikan momen tertentu untuk dikenang sepanjang hayat.
Ramai beranggapan selfie dapat membangkitkan semangat untuk diri sendiri dan membentuk keyakinan diri. Program travelog terbaru yang bersiaran menerusi slot Santai setiap Sabtu, jam
2.30 petang bermula hari ini, menggunakan platform selfie ini.
Travelog cuti-cuti agro dikenali 1,2 Selfie berkongsi pengalaman hos, Farish
Aziz menjelajah ke seluruh negara melakukan aktiviti swafoto khasnya, belajar memasak dan menikmati makanan tempatan, belajar membuat kraf tangan, juga menambah pengetahuan dan pengalaman semasa bercuti.
Dalam program 13 episod ini, Farish bercuti dan berkongsi tarikan agro di lokasi terpilih seluruh negara antaranya Pulau Aman (Pulau Pinang), Nenasi, Janda
Baik (Pahang), Kuala Pilah (Negeri Sembilan), Hutan Melintang, Lenggong (Perak), Sekinchan, Batu Arang, Rawang, Ijok, Sepang (Selangor), dan Alor Gajah (Melaka).
Farish Aziz memulakan travelog ke Pulau Aman, Pulau Pinang dan tarikan agro di pulau ini ialah makanan tradisional, kraf tangan siput laut dan Pokok Sukun Tertua berusia lebih seratus tahun.
Kemudian terus ke Tasek Gelugor meneroka ladang PERDA Ventures. Terdapat ternakan ayam piru dan kambing. Di ladang sayur PERDA Veggie, Ara Kuda terdapat pelbagai sayuran dan buah-buahan.
Destinasi terakhir ialah Sangkar Ikan GST di Pulau Aman melihat ikan-ikan laut yang diternak bagi pasaran Malaysia dan luar negara.
Dalam episod berikutnya, Farish ke Nenasi, Pahang yang terkenal dengan aktiviti nelayan. Destinasi pertama di Pantai Badung mengikut nelayan menangkap ketam di laut.
Farish juga berkesempatan mengunjungi tempat perusahaan keropok di Kampung Nenasi Pantai. Masyarakat Orang Asli di Nenasi rajin berniaga di mana mereka menjual lokan, belangkas dan ketam nipah. Mereka juga merupakan pembuat papan pemotong yang mahir.