Rancak ekonomi dua wilayah
Labuan: Pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dan tanah besar Sabah jika dilaksanakan bukan sahaja memudahkan perhubungan penduduk antara dua wilayah itu, malah merancakkan ekonomi selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.
Ketika ini, penduduk Labuan dan Sabah terpaksa menaiki feri atau bot penumpang untuk berulang-alik antara dua wilayah berkenaan pada jarak sejauh 10 kilometer yang bukan sahaja mengambil masa lama, malah membabitkan kos tinggi serta berdepan ancaman ombak besar dan laut bergelora.
Perjalanan menaiki feri penumpang dan kenderaan dari Labuan ke Menumbok di Sabah dan sebaliknya mengambil masa 90 minit perjalanan sehala manakala 15 hingga 20 minit bergantung keadaan laut bagi mereka yang menaiki bot penumpang.
Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang meluluskan kajian kebolehlaksanaan untuk membina jambatan menghubungkan pulau bebas cukai itu dan tanah besar Sabah bakal memberi limpahan manfaat kepada penduduk Labuan jika dilaksanakan kelak.
Katanya, pengumuman itu bukti kerajaan mendengar suara rakyat Labuan yang disampaikan beliau di segenap saluran tanpa putus asa.
“Ramai yang membantu saya dalam usaha ini termasuk pemimpin dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Terima kasih kepada Perdana Menteri yang mendengar denyutan nadi rakyat Labuan,” katanya ketika dihubungi.