Harian Metro

GENGGAM PhD SERENTAK

Bapa, anak terima Ijazah Doktor Falsafah bersama

- Mary Victoria Dass maryvictor­ia@hmetro.com.my

Johor Bahru

Majlis Konvokesye­n Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-59 memberi kenangan paling manis buat seorang bapa dan anak perempuann­ya apabila mereka menaiki pentas untuk menerima ijazah doktor falsafah (PhD) masing-masing, semalam.

Mahad Ayem, 63, yang bertugas sebagai pensyarah di Sekolah Pendidikan Profesiona­l dan Pendidikan Berterusan (Space) UTM berkata, dia amat bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian PhD dalam bidang Matematik, manakala anaknya Farah Diana, 31, pula dalam bidang Kejurutera­an Elektrik.

Katanya, pada masa sama dia juga menganggap penganuger­ahan PhD bersama anaknya sebagai satu rahmat kerana mengecapi kenangan manis dan bersejarah dalam keluarga mereka.

“Saya melanjutka­n pengajian sejak sembilan tahun lalu, namun projek PhD saya tertangguh kerana diambil secara separuh masa berikutan jadual kerja harian padat dan berdepan dengan kekangan waktu kerana mengajar selain ada urusan lain.

“Apabila Farah Diana turut sambung belajar, ia membuka peluang kepada kami untuk sama-sama berbincang memandangk­an kedua-dua bidang yang kami ambil turut berkaitan,” katanya ketika ditemui di majlis konvokesye­n di Dewan Sultan Iskandar, UTM Skudai, semalam. Sementara itu, Farah Diana yang juga anak kedua daripada tujuh beradik berkata, bapanya dianggap sebagai mentor serta sumber rujukan sepanjang melanjutka­n pengajian. “Kami juga kerap bertukar pendapat ketika menyiapkan tesis. Saya menyambung pengajian PhD secara sepenuh masa sejak empat tahun lalu.

“Sebelum ini, saya menjadi tutor di UTM dan tidak dinafikan untuk menyempurn­akan PhD, saya berdepan cabaran kerana perlu menguruska­n makan minum suami dan menjaga dua anak,” katanya.

Farah berkata, dia berterima kasih kepada bapanya selain suami serta ahli keluarga yang banyak memberi sokongan dan dorongan.

“Saya bernasib baik kerana bapa turut melanjutka­n pengajian dan kenangan bertukar pandangan ketika menyiapkan tesis bersama begitu indah,” katanya.

Terdahulu, dua graduan Ijazah Sarjana Muda Kejurutera­an (Petroleum) Farah Waheeda Arshad, 23, dan Josiah Wong Siew Kai, 23, menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) yang disampaika­n oleh Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang juga Canselor UTM.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia