Harian Metro

TABIAT MAKAN DIRI

- Norhayati Nordin yati@hmetro.com.my

Kuala Lumpur

Pelakon Zara Zya, 32, mengakui dia tidak serik memakai kasut bertumit tinggi meskipun berhadapan masalah kesihatan, baru-baru ini.

Pada Rabu lalu, Zara dikejarkan ke hospital kaki dan bahagian tulang belakangny­a tiba-tiba berasa sakit sehingga sukar untuk berjalan.

Zara atau Zainurul Razia Mohd Zainuddin berkata, memang tidak dinafikan masalah kesihatann­ya itu berpunca daripada kekerapan dia memakai kasut bertumit tinggi.

“Saya akui memang gemar memakai kasut tumit tinggi sepanjang masa tidak kira sama ada ketika bekerja atau bersiar-siar.

“Hinggakan tabiat ini akhirnya membuatkan saya terlepas pandang bahawa memakai kasut tumit tinggi selalu adalah tidak baik untuk kesihatan.

“Justeru, dalam keadaan kesihatan saya masih dalam proses pemulihan, maka memakai kasut tumit tinggi saya dihadkan,” katanya.

Menurut pelakon drama Tuan Anas Mikael ini lagi, yang pasti dia menganggap apa yang dialaminya itu sebagai ujian Yang Maha Esa.

“Inilah lumrah hidup insan yang bergelar manusia. Semestinya kita takkan pernah terlepas daripada diuji-Nya.

“Apapun, saya bersyukur selepas sehari menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya, saya sudah boleh kembali semula ke set penggambar­an drama terbaru, Monalisa.

“Drama ini ada 80 episod dan semestinya ia membuatkan saya perlu segera kembali ke set penggambar­an. Jika tidak pasti akan memberi masalah kepada pihak produksi,” katanya.

Zara berkata, dia yakin keadaan dirinya juga semakin pulih dan tidak memerlukan cuti rehat yang panjang.

Untuk rekod, tahun ini saja Zara sudah dua kali dimasukkan ke hospital untuk mendapatka­n rawatan.

Pada Julai lalu, pelakon itu menjalani pembedahan membuang ketumbuhan kelenjar di bahagian tepi pipinya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia