Harian Metro

Hafizh ada peluang

-

Sepang: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mempunyai potensi untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan terbaik sekali gus mengulangi pencapaian tahun lalu apabila berjaya mencatat masa ke-11 terpantas pada sesi kelayakan sekali gus bermula di barisan keempat, hari ini.

Pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu mencatat masa sepusingan terpantas 2 minit 07.137 saat (s), hanya ketinggala­n 0.731s di belakang pelumba Marc VDS, Franco Morbidelli yang mencatat masa terpantas sekali gus menyambar petak pertama.

“Ini petak kedua terbaik saya musim ini selepas bermula di petak keenam di GP Jepun. Sebenarnya saya sasar untuk berada di barisan ketiga tetapi barisan keempat sudah cukup bagus.

“Apapun tahap keyakinan saya cukup tinggi. Saya mahu membalas sokongan padu peminat terhadap saya di sini dengan keputusan yang baik pada perlumbaan esok (hari ini),” katanya.

Hafizh yang akan beraksi bersama pasukan baru, PETRONAS Sprinta Racing musim depan berkata, apa yang penting adalah dia perlu berhati-hati seawal selekoh pertama pada perlumbaan hari ini.

“Biasanya permulaan perlumbaan agak sukar. Saya perlu pastikan dapat kekal dengan kelompok depan. Jika tidak saya akan bergelut dan sukar untuk mengejar kembali barisan depan.

“Saya tak pasti bagaimana keadaan cuaca esok tetapi ia pastinya cukup mencabar jika berlumba dalam litar kering dan mungkin memberi sedikit kelebihan andai berlumba di litar basah,” kata pelumba yang mendapat gelaran Pescao itu.

Seorang lagi pelumba negara, Khairul Idham Pawi yang beraksi bersama Idemitsu Honda Team Asia bakal bermula di petak ke-23.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia