Cubaan lolos rempuh kereta polis gagal
Shah Alam: Tindakan dua penjenayah melanggar kereta polis dalam usaha meloloskan diri mengundang padah apabila dicekup dan seorang daripadanya cedera terkena tembakan di paha kanan dalam aksi mengejar di sekitar daerah ini, kelmarin.
Difahamkan, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan menjalankan siasatan berkaitan suspek kes samun dengan memerhatikan sebuah kereta Toyota Vios yang diletakkan di tempat letak kereta sebuah kondominium di Seksyen 14, di sini, jam 1 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, menyedari kehadiran polis, dua lelaki yang menaiki kereta itu bertindak memecut laju dan melanggar kenderaan polis, jam 2.30 petang.
“Keadaan itu menyebabkan tembakan terpaksa dilepaskan bagi mempertahankan diri kerana suspek berterusan melanggar kereta polis.
“Polis mengejar mereka hingga Seksyen 7 sebelum suspek memberhentikan kereta itu sebelum keluar melarikan diri,” katanya.
Menurut beliau, kedua-dua suspek berusia 31 dan 35 tahun termasuk yang cedera terkena tembakan bagaimanapun berjaya ditahan bagi membantu siasatan.
Kata Shafien, siasatan lanjut kemudian membawa kepada penahanan dua lagi suspek iaitu lelaki dan wanita berusia 22 serta 32 tahun di kondominium terdahulu.
“Selain itu, polis menemui tiga pistol tiruan dan beberapa telefon bimbit dipercayai hasil samun.
“Suspek yang cedera dibawa ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.