Bayi 12 hari hidap masalah jantung berlubang
Ibu bapa mana tidak mahu anak dilahirkan sihat seperti bayi lain, begitu juga bagi Mohd Rusli Salleh, 42, dan isteri, Roslina Said Hamad, 33, yang tinggal di Sungai Temau, Lipis.
Namun, mereka menerima hakikat yang anak keenam, Afia Raifatunnisa yang baru berusia 12 hari disahkan mengalami masalah jantung berlubang.
Menurut Mohd Rusli, anaknya itu disahkan mengalami penyakit berkenaan ketika berusia empat hari selepas mengalami masalah pernafasan sejak dilahirkan.
Katanya, ketika kandungan isterinya berusia 30 minggu, doktor di Klinik Kesihatan
Ibu dan Anak Merapoh, Lipis mengesahkan ada masalah pada bayi berkenaan iaitu degupan jantungnya tidak stabil serta air ketuban berlebihan.
“Doktor kemudian merujuk isteri saya ke Hospital Kuala Lipis dan dia ditahan di wad selama tiga hari bagi memudahkan pakar memantau kandungan.
“Genap usia kandungan 36 minggu, isteri selamat melahirkan Afia Raifatunnisa namun anak kami mengalami masalah pernafasan dan diletak dalam inkubator,” katanya.
Mohd Rusli berkata, empat hari kemudian doktor mengesahkan Afia Raifatunnisa mengalami masalah jantung berlubang dan perlu dibawa ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
Katanya, dia bingung memikirkan kos terpaksa ditanggung selama berada di IJN termasuk rawatan, penginapan dan yang berkaitan.
Menurutnya, dia memohon jasa baik orang ramai dan badan korporat untuk menyalurkan bantuan kepada keluarganya bagi mengurangkan beban.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun
Maybank Mohd Rusli Salleh 155014002755 atau menghubunginya di talian
017 9255925.
“Saya juga perlu sediakan wang cagaran RM500 dan lain-lain kos yang mencecah ribuan ringgit.
“Saya hanya bekerja sebagai guru KAFA dengan pendapatan RM900 sebulan manakala isteri tidak bekerja.
“Kami juga memiliki lima anak berusia tiga tahun hingga 13 tahun dengan tiga daripadanya bersekolah,” katanya.