Morais idam trofi kedua
Keupayaan mengekang Kedah dalam aksi terakhir liga petanda positif hadapi final Piala Malaysia
Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Ulisses Morais tetap berpuas hati dengan prestasi dan persembahan anak buahnya walaupun mencatat keputusan seri 0-0 dalam perlawanan terakhir Liga Super musim 2017 di Stadium Darul Aman malam kelmarin.
“Satu perlawanan yang baik dan tidak berintensiti tinggi, kedua-dua pasukan cuba memenangi perlawanan namun kami tetap berpuas hati dengan persembahan pemain dan menerima keputusan berkongsi mata di sini.
“Pemain kami mampu mengawal rentak permainan dengan baik di Darul Aman dan kami memperoleh banyak peluang untuk menghasilkan gol namun gagal melakukannya.
“Perlawanan terakhir Liga Super di Kedah bukan sesuatu yang mudah dan kami bermain dengan baik. Sebagai pasukan yang datang dari jauh, kami tetap teruja melihat penyokong kami sungguh bersemangat hadir memberi sokongan untuk kami di sini,” katanya.
Bagi saingan final Piala Malaysia, Morais merasakan akan wujud suasana berbeza dengan pasukannya mahu memburu kemenangan dalam kejohanan paling berprestij itu.
Katanya, beraksi pada pentas final di stadium yang besar serta di depan seluruh penyokong setia memberikan motivasi buat pasukannya melakukan yang terbaik.
“Kami fikir Kedah pasukan yang bagus, mereka ada kualiti dan ada kapasiti untuk memberi tentangan kepada kami, tetapi kami sudah bergelar Juara Liga Super 2017 dan semestinya kami mahukan piala kedua kali ini.
“Walaupun ada beberapa pemain Kedah yang tidak diturunkan menentang kami pada malam ini namun kami tetap berpuas hati dengan persembahan dan prestasi semua pemain serta jumlah keseluruhan mata kami peroleh.
“Seterusnya kami akan kembali menjalani latihan untuk persiapan final dan kejayaan yang kami cari adalah untuk diri, kelab, staf, presiden kami, bos kami TMJ (Tunku Mahkota Johor) dan semua yang penyokong. Kami mahukan Piala Malaysia pada musim ini untuk Johor DT dan juga untuk penyokong kami,” katanya.