Bayu sejuk Guangdong mula bertiup
Udara di Hong Kong pada minggu ini beransur baik dengan angin dingin musim sejuk beransur-ansur turun dari pergunungan utara di Guangdong. Orang Hong Kong menyimpan semua baju dan pakaian musim panas dan gugur terdahulu dengan kemas di dalam stor ataupun bawah katil masing-masing.
Baju singkat, tanpa lengan dan pakaian nipis disimpan selama empat bulan sehinggalah ia dipakai semula pada awal April nanti.
Fesyen pakaian di gedung popular seperti Sogo di Causeway Bay dan Haysan Place di Wan Chai menukar dekorasi dalaman disesuaikan dengan fesyen baju tebal, kain linen, kain berbulu dan beropol serta corak simetri berwarna-warni.
Bagi orang Malaysia, jika tersilap memakai baju, anda akan terketar-ketar kesejukan menjelang senja apabila melewati daerah pelancongan seperti Tsim Sha Shui dan Stanley.
Ia tidak berapa sejuk, seakan-akan suhu di Genting Highlands. Namun, sesekali apabila angin kuat melanda kita akan terasa kedinginan dan andai kata seseorang itu kurang mengambil air minuman, maka badannya akan kekurangan air.
Fenomena ini ringkas, tetapi kadangkala memudaratkan terutama apabila kepada kita terasa loya-loya dan muntah disebabkan perubahan tekanan udara dan hawa persekitaran.
Orang Hong Kong berbeza dengan orang Malaysia, orang Hong Kong boleh hidup di dalam apa jua persekitaran.
Sebagai contoh, mereka boleh tinggal di daerah lereng bukit seperti di Mid Levels dan The
Peak. Ia terletak di pergunungan daerah Central dan Admiralty. Tidak semua memiliki kenderaan, jadi pengangkutan utama ialah bas transit, bas mini, teksi ataupun tram.
Semua kenderaan pengangkutan awam ini tidak berhenti mengambil atau menurunkan penumpang sesuka hati. Mereka cuma singgah di perhentian yang diwartakan khas untuk permit kenderaan mereka. Kadangkala, seseorang itu terpaksa menapak menaiki dan menurun bukit sejauh 200 meter untuk ke perhentian teksi terdekat. Bukan itu saja, kadangkala mereka ini juga perlu menukar mode pengangkutan beberapa kali hanya untuk ke destinasi di bandar berdekatan.
Sebahagian mereka yang tinggal di lereng bukit ini orang kaya. Mereka kaya zaman-berzaman.
Fizikal mereka sangat cantik, mereka berkulit putih, nampak sihat dan sentiasa mempunyai pemikiran yang tajam.
Golongan ini berasimilasi dengan geng mat salih beratus tahun lalu, perkahwinan campur menghasilkan baka yang sihat, tubuh badan yang perkasa dan kesihatan yang berpanjangan.
Seperti yang pernah saya tulis beberapa minggu lalu, jangka hayat orang Hong Kong antara yang terbaik di dunia dengan lelaki mencatatkan purata 92 tahun dan wanita 95 tahun.
Pada usia 50-an, orang Hong Kong masih lagi bermain bola sepak, masih lagi menyusuri trek berbukit dan riadah yang mencabar serta boleh menyesuaikan diri di dalam berbagai persekitaran dan udara.
Pengalaman pertama saya tinggal di dalam iklim perubahan cuaca ini sangatlah tidak menyenangkan. Setiap tiga bulan sewaktu perubahan dan peredaran musim, saya akan mengalami masalah alahan kulit.
Radang kulit membentuk di setiap kawasan tubuh badan yang terdedah kepada cahaya matahari. Ia menjadi seakan kering, berkeping-keping dan kadangkala terdapat luka kecil.
Anak-anak saya pula lebih teruk apabila bibir mereka pecah dan lapisan kulit di antara bibir bawah dengan dagu akan bertukar hitam dan menjadi berkeping-keping.
Rasa mual dan loya serta pening-pening itu biasa. Jika menaiki bas mini, pelancong Malaysia kena bersedia dengan beg muntah dan juga minyak angin segala cap dari cap kapak ke cap rimau dan cap wanita Bali sampailah minyak cap ibu berkemban.
Segala macam minyak akan disapu orang kita yang tidak biasa dengan perubahan suhu secara mendadak.
Sama juga bagi yang menaiki feri laju ke Macau, perjalanan 45 minit itu terasa menyeksakan kerana bot sekecil itu dilambung ombak, bergerak ke kiri dan kanan.
Di dalam bot dari Hong Kong ke Macau itu sudah tentulah dipenuhi oleh kaki judi Hong Kong dan di celah-celah kaki judi itu akan ada muka-muka orang kita yang sekadar mahu menjejakkan kaki ke Macau dan menyaksikan keindahan pulau judi kecil itu.
Yang termuntah, tergolek dalam tandas dan berpeluh seteruk-teruknya adalah orang luar.
Orang Hong Kong selamba saja, tiada sebarang masalah. Masih boleh membaca ramalan nombor ekor dan sudah ada yang meng‘cong’ kad untuk latihan prapesta judi nanti.
Di sini kita kalah dengan orang Hong Kong kerana mereka mempunyai fizikal dan mental yang baik berbanding kita. Mereka berjalan pantas, bercakap pantas dan memaki pun dengan pantas.
Namun, masyarakat ini sangat berdisiplin, mereka akan beratur untuk segala macam perkara, menghormati orang tua, wanita mengandung dan kanak-kanak.
Tempat duduk di dalam bas atau tren akan diberikan kepada golongan memerlukan tanpa banyak soal. Tak perlu nak menjeling-jeling atau menyindir.
Mereka mengamalkan adab dalam perniagaan, setiap transaksi dan pembelian mesti diucapkan
thank you atau mmkoy bermakna terima kasih di dalam loghat tempatan. Perkataan mmkoy ini boleh membantu anda di mana-mana keadaan atau situasi. Ia juga membawa maksud, tumpang tanya ataupun maafkan saya atau beri laluan.
Mereka tidak membazir makanan dan mereka tidak membuang sampah merata-rata.