Harian Metro

Serang hendap pengurup wang

- Norizuan Shamsuddin am@hmetro.com.my

 Peluru tembusi rahang, dagu wanita dan pekerja depan pasar raya

Berpantang maut sebelum ajal. Itu dialami seorang pengurus syarikat pengurup wang yang sekadar cedera di muka walaupun ditembak empat das oleh penjenayah dari jarak dekat.

Dalam kejadian jam 10.05 malam kelmarin, mangsa wanita tempatan berusia 61 tahun diserang ketika berada di dalam kereta bersama pekerjanya iaitu lelaki warga Pakistan berusia 33 tahun di depan Pasaraya Bilion, Bandar Teknologi Kajang, di sini.

Dalam kejadian serang hendap itu, mangsa masing-masing cedera di bahagian rahang dan dagu akibat terkena tembakan yang menembusi cermin kenderaan dinaiki.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumka­n kes samun bersenjata api dan melepaskan tembakan di lokasi itu.

Katanya, sepasukan anggota polis termasuk unit forensik dikerah ke lokasi bagi menjalanka­n siasatan dan tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati dua mangsa yang ditembak adalah seorang majikan syarikat pengurup wang dan pekerjanya.

“Kejadian berlaku ketika mangsa wanita terbabit menghantar pekerjanya ke lokasi itu,” katanya.

Beliau berkata, penjenayah yang menaiki kereta Proton Waja kemudian melepaskan tembakan sebaik mangsa lelaki keluar dari kenderaan Toyota Fortuner dinaiki.

“Mangsa kemudian segera dihantar ke Hospital Kajang bagi menerima rawatan. Siasatan dilakukan unit polis forensik menemui empat kelongsong peluru di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui awal pagi semalam.

Jelasnya, siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti dan mengesan kumpulan suspek.

“Kami tidak menolak kemungkina­n kejadian dipercayai bermotifka­n samun berdasarka­n pekerjaan mangsa.

“Bagaimanap­un, polis belum mendapatka­n keterangan mangsa bagi mendapatka­n maklumat lebih lanjut berhubung kejadian sama ada mereka mengalami kerugian atau sebaliknya.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian sedang dilakukan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia