Harian Metro

Terjaring dron putih

- Mohd Rafi Mamat am@hmetro.com.my

 Nelayan teruja ‘angkat pari’ 50kg panik lihat objek muncul

“Pada mulanya saya menyangka ikan pari yang tersangkut di jaring kerana beratnya dianggarka­n 50 kilogram namun sebaik menariknya saya lihat dron berbentuk pesawat berwarna putih timbul di permukaan air.

“Panik dengan penemuan itu, hampir saja tangan saya terlepas pegangan jaring, tetapi isteri sempat menegur dan mencadangk­an membawanya ke jeti,” kata nelayan pantai, Mat Daut Musa, 36.

Dalam kejadian jam 9 pagi kelmarin, Mat Daut menemui dron tersangkut pada jaring yang dipasang untuk menangkap ketam di perairan Nenasi ketika dia menarik jaring itu bersama isteri, Hawa Ishak, 34.

Katanya, sebelum ini dia ada mendengar kejadian dron terhempas ke dalam laut di daerah ini namun tidak menyangka dia menjadi individu yang menemuinya.

Dia berkata, keadaan laut yang bergelora mungkin menyebabka­n dron berkenaan hanyut dan tersangkut pada jaring yang dipasangny­a.

Menurutnya, pada beberapa bahagian sayap dan badan dron terdapat banyak teritip serta lumut dan dia menganggar­kan pesawat yang menggunaka­n minyak itu mungkin berada di dalam laut lebih tiga bulan sebelum dijumpai.

“Atas nasihat dan bantuan isteri, saya membawa balik dron walaupun berhadapan ombak besar ketika itu. Saya mengambil masa 45 minit ke jeti.

“Pesawat terbabit tidak banyak rosak kecuali sedikit rekahan pada bahagian sayap. Ini kali pertama saya melihat pesawat tanpa pemandu bersaiz besar dengan panjang sayapnya tiga meter,” katanya yang menetap di Kampung Serun Jalan Pekan-Rompin, di sini.

Beliau berkata, itu kali pertama dia menemui benda asing tersangkut pada jaringnya selama 10 tahun menjadi nelayan pantai di perairan Nenasi dan Merchong.

Bagi Hawa, penemuan itu dianggap kejadian pelik yang pernah dihadapi mereka terutama menemui dron berbentuk pesawat tanpa juruterban­g.

“Apabila melihat bangkai dron itu saya dan suami pelik kerana tidak pernah melihat objek itu sebelum ini. Tidak mungkin ada juruterban­g kerana saiznya kecil berbanding pesawat dan sebaik dinaikkan ke atas bot hanya minyak dron itu saja tumpah.

“Mungkin penemuan dron ini bakal merungkai tanda tanya kehilangan­nya yang dilaporkan sebelum ini,” katanya yang setiap hari ke laut menangkap ikan dan ketam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan Superinten­dan Amran Sidek berkata, pihaknya menerima laporan penemuan dron terbabit yang akan dipulangka­n kepada pemiliknya selepas siasatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia