Harian Metro

Calon pengadil timba ilmu di lokasi rahsia

- Mohamad Zulfaizan Mansor zulfaizan@bh.com.my

Kuala Lumpur: Calon pengadil yang akan mengendali­kan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kedah dan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di Stadium Shah Alam, Sabtu ini sedang menjalani proses pendedahan di satu tempat ‘rahsia’.

Jawatankua­sa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh menjelaska­n, ia sebagai persediaan dalam memastikan keputusan terbaik dapat dilakukan pengadil sepanjang mengendali­kan perlawanan berskala besar itu.

Subkhiddin berkata, kira-kira 10 pengadil yang terpilih akan membuat kajian secara menyeluruh mengenai kedua-dua pasukan termasuk dari aspek pemain dan jurulatih.

“Kita bawa pengadil ini di satu tempat untuk berikan pendedahan, saya tidak boleh dedahkan tempat itu. Mereka akan membuat kajian terhadap karektor jurulatih, taktikal pasukan serta siapa pemain yang boleh beri impak dalam perlawanan.

“Kita juga kaji perlawanan sebelum ini termasuk aksi liga terakhir antara Kedah dan Johor DT (Sabtu lalu). Mereka perlu masuk kelas dan kita sediakan tayangan klip video untuk kita lihat mana-mana bahagian yang boleh membantu bidang pengadil.

“Kita ambil kira pandangan semua pihak dan kita juga mempunyai tempoh lebih kurang seminggu untuk mempersiap­kan barisan pengadil ini termasuk membentuk keserasian antara mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini, FAM menerima pelbagai kritikan berhubung mutu pengadilan dalam Liga Malaysia (Liga M) dengan insiden terbaru ketika aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Johor DT dan Perak, 21 Oktober lalu yang menyaksika­n pengadil membatalka­n gol penyamaan Perak.

Selepas melakukan perbincang­an mengenai insiden itu, Subkhiddin mengaku jaringan sendiri pertahanan Johor DT, S Kunanlan adalah sah sambil menjelaska­n pengadil serta pembantu pengadil kedua pada perlawanan itu tersilap tafsir mengenai gol berkenaan.

Selain itu, Subkhiddin turut menjelaska­n enam pengadil yang akan mengendali­kan aksi final itu nanti hanya akan diputuskan pada saat akhir.

“Kita tidak pasti berapa orang lagi (pengadil), tapi untuk perlawanan akhir biasanya kita ambil enam termasuk pengadil dan pembantuny­a, tapi kita belum putuskan lagi.

“Kita cuma bagi pendedahan kepada semua sekali lebih kurang 10 pengadil yang terpilih. Kemudian dalam masa terdekat, kita akan putuskan enam pengadil (perlawanan akhir) ini bagi mengelak daripada bookie dan sebagainya,” katanya.

 ?? Subkhiddin Mohd Salleh ??
Subkhiddin Mohd Salleh

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia