Mohon perkasa industri sarang burung walet
Kota Kinabalu: “Kerajaan Sabah perlu membantu pengusaha sarang burung walet di negeri ini berikutan permintaan terhadap produk itu semakin meningkat,” kata Presiden Persatuan Pemilik Rumah dan Industri Sarang Burung Walet Sabah (SWIFIN) Datuk Karim Bujang.
Beliau berkata, ia memandangkan perusahaan itu mempunyai potensi besar, sekali gus dapat membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.
Katanya, walaupun industri itu masih baru di negeri ini, namun sarang burung walet keluaran Sabah mendapat perhatian meluas kerana berkualiti tinggi berbanding produk sama di negara lain.
“Nilai industri ini di Malaysia dianggarkan mencecah bilion ringgit memandangkan permintaan dunia terhadap produk ini amat tinggi, terutamanya membabitkan pasaran China.
“Bukan itu saja, harga sarang burung walet juga semakin tinggi dan mencecah sehingga RM6,000 bagi setiap kilogram (kg) dan ia sudah tentu memberi pulangan lumayan kepada pengusaha.
“Justeru, saya yakin kerjasama dan bantuan daripada kerajaan negeri mampu memperkasakan lagi industri ini dan pada masa sama dapat membantu rakyat khususnya golongan miskin yang terbabit dalam bidang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Pemantapan Industri Rumah Burung Walet anjuran SWIFIN di Bilik Mesyuarat Persatuan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Kota Kinabalu, di sini, kelmarin.
Program dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak Sabah itu disertai kira-kira 100 peserta.