Harian Metro

Kejayaan dibantu 3 sahabat

-

Georgetown: Penat lelah dengan usaha berganda berbanding penuntut lain membolehka­n graduan cacat penglihata­n, Noor Ilham Ismail, 27, menerima Ijazah Sarjana Muda Sejarah di Upacara Konvokesye­n ke-55 Universiti Sains Malaysia (USM), semalam.

Pencapaian anak peneroka dari FELDA Lok Heng, Kota Tinggi, Johor itu membuktika­n kebolehan orang kurang upaya (OKU) berjaya dalam bidang diceburi.

Noor Ilham berkata, matanya menjadi kabur selepas demam panas pada usia lapan tahun dan sejak itu dia hanya dapat mengesan cahaya terang saja.

Katanya, kejayaan berkat dorongan ibu, Sarimah Kassim, 63, dan arwah bapa, Ismail Jaafar yang meninggal dunia pada Jun lalu akibat strok.

“Walaupun bapa tidak dapat meraikan kejayaan ini, saya sudah menunaikan hasratnya bagi menjadi OKU berjaya dan berdikari.

“Kini, saya menyambung pengajian ke peringkat sarjana dalam Sejarah Politik dan ibulah yang memberi galakan berikutan saya sudah biasa berdikari,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Noor Ilham ditemui bersama Sarimah dan bapa saudaranya, Mohd Zamri Kassim, 45, pada sidang media meraikan kejayaanny­a di USM, semalam.

Beliau berkata, sebagai penuntut universiti, dia tidak dapat lari daripada berdepan dengan cabaran, namun dia bertuah kerana mempunyai tiga sahabat yang sentiasa membantu.

Katanya, kebiasaann­ya selepas selesai menaip tugasan, sahabatnya akan menjadi ‘mata’ dengan membacakan, memeriksa dan membetulka­n kesalahan ejaan dilakukan Noor Ilham.

“Sebenarnya, sudah enam universiti tempatan menolak tawaran saya untuk menyambung pengajian dan ia mungkin kerana faktor fasiliti di sana yang tidak sesuai bagi penuntut OKU.

“Saya anggap ia sebahagian ujian hidup seperti ditempuh semua orang, asalkan kita tidak berputus asa mencuba,” katanya.

 ??  ?? NOOR Ilham bersama
ibu dan bapa saudaranya pada Majlis Konvokesye­n
USM ke-55 di Georgetown.
NOOR Ilham bersama ibu dan bapa saudaranya pada Majlis Konvokesye­n USM ke-55 di Georgetown.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia