Harian Metro

Terperangk­ap enjin rosak

- Nur Syazwana Mansor am@hmetro.com.my

 Enam pemancing hanyut 88 km ke tengah laut 39 jam diselamat bot komuniti nelayan

“Alhamdulil­lah berkat doa ahli keluarga dan semua yang ada di sini, kami kembali dengan selamat ke sisi keluarga masing-masing,” kata pemancing, Muhd Salihin Ibrahim, 57, yang diselamatk­an nelayan selepas 39 jam terperangk­ap di tengah laut akibat kerosakan enjin bot pada Ahad lalu.

Selain dia, lima rakannya Mohamad Ramli, 57, Mohd Nazri Abd Hamid, 47, Azmi Raif Mat Noh, 47, Jasri Daud, 48, dan Thai Kean Onn, 49, serta tekong bot Kharulanua­r Arshad, 39, terpaksa bermalam di lautan sebelum diselamatk­an oleh bot komuniti nelayan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama pelbagai agensi lain susulan laporan kehilangan mereka, kelmarin.

Semua mereka tiba di Jeti Kuala Sala jam 4.20 petang semalam dengan disambut tangisan kegembiraa­n ahli keluarga masing-masing yang berkampung di Jeti Kuala Sala di sini, sejak malam Ahad, sebaik mengetahui kehilangan mereka.

Muhd Salihin yang mewakili lima rakan berkata, mereka bertolak dari Jeti Kuala Sala pada jam 7.45 pagi Ahad selepas mencari umpan untuk memancing.

Katanya, bot disewa mereka bergerak ke kawasan tuas paling tengah untuk memancing sehingga jam 4.30 petang.

“Ketika itu kami lihat cuaca mula mendung, lantas mula mengangkat sauh dan tekong menghidupk­an enjin laut untuk pulang semula ke jeti.

“Bot yang kami naiki bergerak sejauh dua kilometer dalam keadaan berangin ketika itu sebelum enjin bot tiba-tiba berhenti dan tidak boleh dihidupkan semula,” katanya.

Katanya, selepas beberapa kali percubaan menghidupk­an enjin gagal, mereka melabuhkan semula sauh bagi menghalang bot daripada terus bergerak jauh.

“Bagaimanap­un, keadaan angin timur yang kuat pada malam pertama kami di laut menyebabka­n bot terus dihanyutka­n ombak.

“Kami berada pada jarak 60 kilometer (km) dari jeti pada pagi semalam (kelmarin) dan hanyut lagi sehingga sejauh 88 km pagi tadi (semalam),” katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu pelbagai cara mereka lakukan bagi menghalang bot daripada terus hanyut.

“Kami gunakan semua benda yang ada untuk menahan bot daripada terus bergerak jauh dan pada masa sama tekong bot berusaha menghidupk­an enjin bot yang rosak.

“Alhamdulil­lah selepas tiga kali percubaan, enjin bot itu dihidupkan semula dan jam 8.30 pagi tadi (semalam) kami meneruskan perjalanan pulang sehingga ke kawasan yang mempunyai isyarat komunikasi, lalu tekong menghubung­i rakan nelayan untuk bantuan,” katanya.

Sementara itu, tekong bot, Kharulanua­r Arshad, 39, berkata, dia menjalanka­n perkhidmat­an bot memancing sejak lima tahun lalu.

Katanya, dalam tempoh terbabit ini kali pertama dia ditimpa musibah sedemikian.

“Pada mulanya saya bimbang keselamata­n penumpang yang lain namun lega apabila mereka masing-masing bertenang dan bekerjasam­a mencari jalan untuk bertahan.

“Kami cuba buat sebaik mungkin menyelamat­kan diri daripada perkara yang tidak diingini dan syukur berkat doa semua orang kami pulang dengan selamat,” katanya. Dalam pada itu, Pengarah Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berterima kasih kepada semua agensi terbabit dalam operasi SAR iaitu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan komuniti nelayan.

Beliau menasihatk­an kepada pemancing memaklumka­n kepada ahli keluarga masing-masing sebelum ke lokasi memancing bagi memudahkan usaha mencari dan menyelamat jika berlaku perkara tidak diingini.

“Bagaimanap­un, kami bersyukur kerana semua mereka ditemui selamat,” katanya.

 ?? NUR SYAZWANA MANSOR ?? ENAM pemancing bersama seorang tekong yang selamat ketika tiba di Jeti Kuala Sala.
NUR SYAZWANA MANSOR ENAM pemancing bersama seorang tekong yang selamat ketika tiba di Jeti Kuala Sala.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia