Harian Metro

Tambah lagi jel tiga tahun

-

 Wanita kerdil menyamar puteri sultan dihukum atas tuduhan pengubahan wang haram RM2.84j

Wanita kerdil menyamar sebagai puteri Sultan Pahang yang dihukum penjara tiga tahun atas pertuduhan menipu pakar bedah kosmetik membabitka­n kerugian RM1.2 juta, dipenjara tiga tahun lagi oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mengaku bersalah terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM2.84 juta.

Hakim Mohamed Kamil Nizam menjatuhka­n hukuman itu terhadap tertuduh, Rohaida Yahil, 41, selepas dia mengaku bersalah sebaik lapan pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Rohaida yang sebelum ini mengaku tidak bersalah menukar pengakuann­ya ketika sebutan semula kes itu dan dia kelihatan tenang sepanjang prosiding.

Mahkamah memerintah­kan tertuduh menjalani hukuman itu selepas dia selesai hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan menipu pakar bedah kosmetik Datuk Dr Abdul Jalil Jidon membabitka­n RM1.2 juta, Mac lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa memperoleh wang ke dalam akaun simpanan CIMB Bank Berhad cawangan Ampang Point miliknya melalui transaksi berjumlah RM3,400 daripada akaun simpanan Maybank milik Khuzairiah Abdul Latiff, 40.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntu­kkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua hingga kelapan pula, dia didakwa memperoleh wang ke dalam akaun simpanan CIMB Bank Berhad miliknya daripada Khuzairiah dan Mohd Ghazali Othman, 45, melalui 284 transaksi berasingan yang semuanya berjumlah RM2,838,290.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank cawangan Ampang Point, No 23, Jalan Mamanda 7/1, Wisma Ampang Triangle, Jalan Ampang, di sini antara 28 Ogos 2014 hingga 22 April 2016.

Bagi ketujuh-tujuh pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram itu atau RM5 juta yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam bela Shamsul Sulaiman memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan mengambil kira pengakuan salah tertuduh selain anak guamnya itu sudah insaf atas perbuatann­ya.

“Anak guam saya juga meminta maaf kepada mangsa serta kerabat Pahang kerana menggunaka­n nama mereka untuk menipu dan dia melakukan semua ini bertujuan mendapatka­n lebih ramai kawan,” katanya.

Bagaimanap­un, Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Liyana Shahrir bagaimanap­un memohon mahkamah menjatuhka­n hukuman setimpal dengan alasan tindakan tertuduh menyebabka­n jumlah kerugian besar ke atas mangsa.

Pada 14 Mac lalu, Rohaida dihukum penjara tiga tahun oleh dua Mahkamah Majistret, di sini atas 53 pertuduhan menipu pakar bedah kosmetik membabitka­n kerugian RM1.2 juta, tiga tahun lalu.

 ??  ?? ROHAIDA dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ampang, semalam.
ROHAIDA dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ampang, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia