Harian Metro

Pengarah, pemegang saham Bestino bebas

-

Ipoh: Dua pengarah Bestino Golden House Sdn Bhd (Bestino) dan dua pemegang saham majoriti syarikat itu dibebaskan Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas 322 tuduhan pengubahan wang bernilai RM156.2 juta dan lima tuduhan menerima deposit orang awam tanpa lesen pada 2011.

Hakim S Indra Nehru memerintah­kan pengarah Bestino, Chong Yuk Ming, 55, Chang Kuei Geh, 63, serta pemegang saham, Goon Koon Lee, 54, dan Ho Chee Cheong, 47, dibebaskan tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan itu selepas pendakwaan gagal membuktika­n kesalahan prima facie kes berkenaan.

Mereka dituduh melakukan semua kesalahan berkenaan antara 9 Julai 2006 hingga 21 September 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1), Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) dengan satu tuduhan terhadap syarikat itu yang berpangkal­an di sini serta empat lagi secara individu iaitu menerima deposit orang awam tanpa lesen dan kebenaran sah di premis syarikat terbabit di 80-B, Jalan Sultan Yusoff, Ipoh.

Mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a), akta sama yang membawa hukuman maksimum RM10 juta atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA), Putrajaya, Nur Ashikin Mokhtar dan Pegawai Pendakwa Bank Negara Malaysia (BNM), Wan Nur Atiqah Meor Mohd Zin manakala semua tertuduh diwakili peguam K Kumaran dan P Pavaneswar­an.

Susulan keputusan mahkamah itu, Nur Ashikin berkata, pihaknya memfailkan rayuan berhubung keputusan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi.

Katanya, pihaknya juga memfailkan permohonan supaya mahkamah terus membekukan aset disita daripada semua tertuduh sehingga prosiding rayuan kes berkenaan selesai.

Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi di sini turut menolak permohonan 6,764 pelabur Bestino untuk mendapatka­n kembali wang pelaburan mereka berjumlah RM411 juta serta dividen dalam syarikat pelaburan emas berkenaan.

Mereka sebelum ini memfailkan permohonan itu pada 2014 dan menamakan dua ahli lembaga pengarah syarikat itu serta dua pemegang saham majoriti sebagai defendan

Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dalam penghakima­nnya berkata, mahkamah menolak permohonan itu kerana pelabur sepatutnya mengambil tindakan terhadap syarikat Bestino, bukan ahli lembaga pengarah dan pemegang saham.

 ??  ?? CHONG dibebaskan Mahkamah Sesyen tanpa dipanggil membela diri.
CHONG dibebaskan Mahkamah Sesyen tanpa dipanggil membela diri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia