1,500 anggota polis kawal stadium esok
Shah Alam: Bagi memastikan kelancaran perlawanan akhir Piala Malaysia, polis memberi amaran kepada penyokong supaya tidak membawa bahan terlarang di Stadium Shah Alam, di sini, esok.
Selain bahan letupan dan senjata tajam, barangan yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke stadium itu termasuk suar, batang besi atau kayu, pemetik api, payung dan botol air minuman.
Ia turut membabitkan sepanduk dan kain rentang berbaur hasutan, provokasi dan politik serta hanya 10 gendang boleh digunakan sepanjang perlawanan itu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pihaknya tidak mahu insiden seorang remaja lelaki yang ditahan kerana membaling mercun ketika perlawanan bola sepak Sukan SEA di stadium sama, Ogos lalu, berulang.
“Justeru, kita akan menempatkan lebih 1,500 pegawai dan anggota polis termasuk pasukan khas, Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Berkuda untuk mengawal keselamatan secara menyeluruh di kawasan stadium.
“Pemeriksaan dan tapisan rapi akan dijalankan di setiap pintu masuk bagi mengelak penyokong membawa bahan ter- larang. Tindakan tegas akan diambil jika mereka didapati melakukan kesalahan itu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat akhir keselamatan final antara Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, di sini semalam.
Menurut Shafien, polis dan FMLLP juga akan memantau kegiatan ‘ulat’ yang menjual tiket palsu dengan menempatkan individu di sekitar stadium.
Dalam pada itu, beliau berkata, kira-kira 75,000 penyokong kedua-dua pasukan akan membanjiri lokasi berkenaan dan pintu stadium mula dibuka jam 4 petang.