TERPEDAYA ‘PEGAWAI’ PUAKA
Hanya dengan satu panggilan telefon, seorang wanita kerugian RM15,400 selepas wang simpanan dalam akaun banknya lesap dipercayai diperdaya sindiket penipuan atas talian.
Menceritakan kembali kejadian yang berlaku pada Jun lalu, wanita yang hanya mahu dikenali Li Heng, 37, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali yang mendakwa daripada sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.
Katanya, lelaki yang menggelarkan dirinya Ong memaklumkan dia menggunakan kad kredit membeli telefon di sebuah kedai syarikat telekomunikasi di Kuala Lumpur pada 21 Mac lalu.
“Lelaki itu meminta saya menelefon Bank Negara melalui nombor telefon diberikannya dan menurutnya jika saya tidak berbuat demikian secepat mungkin, nama saya akan disenarai hitam. “Bimbang disenarai hitam saya terus menghubungi nombor telefon ‘Bank Negara’ yang diberikan lelaki terbabit dan bercakap dengan seorang lagi lelaki bernama Wong,” katanya di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bercham di sini, semalam.
Menurutnya, dia kemudian diminta memberikan nama dan nombor kad pengenalan selain memberikan maklumat mengenai akaun bank serta kad kredit lain kepada ‘pegawai’ bank berkenaan.
“Sebaik sahaja panggilan itu ditamatkan, saya menceritakan perkara itu kepada
Wang simpanan RM15,400 lesap selepas terima panggilan jahanam
seorang rakan dan rakan percaya saya sudah ditipu.
“Berasa tidak sedap hati saya terus ke bank dan terkejut mendapati semua wang dalam akaun yang berjumlah RM15,400 sudah tiada,” katanya yang kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bercham pada Jun lalu.
Seorang lagi mangsa penipuan atas talian yang ingin dikenali sebagai Mei Lin berkata, dia terpedaya dengan tawaran skim pinjaman mudah di laman Facebook.
“Saya terpedaya dengan tawaran penstrukturan semula kewangan yang dibuat oleh satu akaun Facebook yang menggunakan nama sebuah syarikat kewangan pada Mac lalu.
“Saya diminta mendaftarkan maklumat diri dan kemudian dihubungi seorang individu yang meminta saya membayar sejumlah wang pendahuluan bagi membuat pinjaman secara atas talian,” katanya.
Menurutnya, dia kemudian membuat bayaran RM5,370 selepas dimaklumkan cek pinjaman sudah siap namun selepas itu individu yang menghubunginya itu gagal dihubungi.
Sementara itu, ADUN Bercham, Cheong Chee Khing berkata beliau meminta orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon yang mendakwa daripada syarikat perkhidmatan kewangan dengan memberikan maklumat peribadi.