PUPUK AURA POSITIF
Jaga tutur kata untuk bentuk hubungan baik sesama insan
Bagaimanakah cara kita bercakap dengan diri sendiri? Adakah minda kita banyak diisi kata-kata negatif? Kebiasaannya, sekitar 90 peratus daripada apa yang kita lihat dan dengar setiap hari adalah perkara negatif.
Kebanyakan apa yang kita dengar dan dibaca memuatkan berita kemalangan, kemusnahan, pengkhianatan, musibah dan jenayah di seluruh dunia.
Dalam sehari kita memikirkan lebih daripada 60,000 perkara dengan 80 peratusnya adalah fikiran negatif. Misalnya resah, bimbang, sedih dan gelisah mengenai ‘masa sekarang’.
Berfikir negatif berkaitan gaji, kerjaya, keluarga dan sebagainya. Begitu juga penyesalan terhadap masa lalu serta tekanan perasaan untuk menghadapi masa depan.
Fikiran seperti itu menciptakan perasaan negatif terhadap diri sendiri sebagaimana yang dikatakan Dr Shalih al-Rasyid:
Dalam sehari manusia berbicara dengan dirinya lebih daripada 5,000 patah perkataan dengan 77 peratus bisikan kepada diri sendiri adalah negatif!
Kita seringkali mengatakan: “Saya mudah lupa.” “Saya mudah bosan.” “Saya tidak boleh.”
“Payah.” “Hati saya kotor.” “Nantilah.”
Ayat itu apabila sering diulang-ulang akan menjelma menjadi ‘keyakinan.’ Otak di bawah sedar akan merakamnya dan ia menjadi sebahagian karakter seseorang.
Ucapkanlah secara berulang-ulang kata-kata ini kepada diri sendiri:
“Saya boleh, insya-Allah!” “Allah pasti bantu!” “Besarnya nikmat Allah melalui kekuatan fungsi otak.” “Aku positif selalu.” “Sangka baik kepada Allah.”
Bahasa positif itu jika sering diulang-ulang akan mengubah seorang menjadi yakin. Maka, pilihlah kata-kata terbaik untuk disebutkan kepada diri sendiri dan orang lain.
Bagaimana cara kita bercakap dengan orang lain? Banyak negatif atau positif? Setiap hari kita perlu berkomunikasi. Bagaimana kita mampu membangunkan satu komunikasi yang beradab?
Ada beberapa istilah menarik yang bagus untuk menjadi panduan hidup kita.
1. Kata-kata yang berbekas pada jiwa
(Qaul Baligh).
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka bagaimanakah halnya apabila mereka (orang-orang munafik) ditimpa sesuatu musibah disebabkan perbuatan tangan mereka sendiri, kemudian mereka datang kepadamu sambil bersumpah: “Demi Allah, kami sekali-kali tidak menghendaki selain penyelesaian yang baik dan perdamaian yang sempurna”. Mereka itu adalah orang-orang yang Allah mengetahui apa yang di dalam hati mereka. Kerana itu berpalinglah kamu daripada mereka dan berilah mereka pelajaran, dan katakanlah kepada mereka kata-kata yang berbekas pada jiwa mereka.” (Surah al-Nisa’, ayat 62-63)
M Quraish Shihab dalam Tafsir al-Mishbah mengutip daripada pakar satera kriteria khusus mengenai suatu pesan dianggap baligh iaitu:
Tertampungnya seluruh pesan dalam kalimat disampaikan.
Kalimatnya tidak meleret panjang, juga tidak terlalu pendek sehingga pengertiannya menjadi kabur.
Pilihan kosa katanya tidak dirasakan asing bagi si pendengar.
Kesesuaian kandungan dan gaya bahasa dengan lawan bicara.
2. Kata-kata yang mulia (Qaul Karim).
Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’, ayat 23 yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaikbaiknya. Jika salah seorang di antara kedua-duanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada kedua-duanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”
Sayyid Quthb dalam Tafsir Fi Zhilal al-Quran menyatakan perkataan mulia dalam konteks hubungan dengan kedua-dua orang tua, pada hakikatnya adalah tingkatan tertinggi yang harus dilakukan seorang anak.
Ibn ‘Asyur dalam al-Tahrir wa al-Tanwir menyatakan ‘qaul karim’ adalah perkataan yang tidak mengkritik pihak lain yang membuat dirinya berasa seakan-akan terhina.
Contoh yang paling jelas adalah ketika seorang anak ingin menasihati orang tua yang salah tetap menjaga sopan santun dan tidak sampai menyinggung perasaannya.
3. Kata-kata yang menyenangkan lagi melegakan (Qaul Maisur).
Al-Quran mengajar kita menggunakan perkataan yang baik dan alasan rasional. Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’, ayat 28 yang bermaksud: “Dan jika kamu berpaling daripada mereka untuk memperoleh rahmat daripada Tuhanmu yang kamu harapkan, maka katakanlah kepada mereka ucapan yang menyenangkan (lemahlembut dan melegakan).”
4. Kata-kata yang baik (Qaul Ma’ruf).
Dalam al-Quran istilah itu disebutkan sebanyak empat kali iaitu Surah al-Baqarah, ayat 235, Surah al-Nisa, ayat 5 dan 8 serta Surah al-Ahzab, ayat 32.
Dalam Surah Thaha, ayat 43-44 bermaksud: “Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, sesungguhnya Dia melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya (Fir’aun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia sedar atau takut.”
Kenapa Nabi Musa harus berkata lembut padahal Fir’aun adalah tokoh yang zalim? Menurut al-Razi, dalam Mafatih, ada dua alasan. Pertama, sebab
Musa pernah dididik dan ditanggung kehidupannya ketika bayi hingga dewasa.
Kedua, biasanya seorang penguasa yang zalim cenderung bersikap lebih kasar dan kejam jika diperlakukan secara kasar dan diri rasa tidak dihormati.
5. Kata-kata yang jelas dan benar (Qaul Sadid).
Firman Allah SWT dalam Surah-Nisa’, ayat 9 yang bermaksud: “Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar.”
Ayat itu turun dalam situasi seseorang memberi hartanya kepada orang lain, padahal anaknya masih memerlukan harta itu.
Penulis ialah pendakwah dan penulis buku