JAGA AMANAH ‘CAPTAIN’
“Tanggungjawab kitak (arwah bapa) akan kamek (saya) pegang,” kata Adam Malik Bolhassan,
24, anak lelaki kepada Allahyarham Bolhassan
Aini Dhoby, 54, yang meninggal dunia di Hospital Sibu, di sini, awal pagi semalam.
Bolhassan yang juga anak saudara kepada pejuang kemerdekaan Sarawak Allahyarham Rosli Dhoby itu meninggal dunia jam 4 pagi selepas dimasukkan ke Hospital Sibu sejak 29 Oktober lalu akibat serang angin ahmar.
Adam dalam catatan laman sosial Facebook berkata, dia yang menggelar arwah bapanya itu sebagai ‘Captain’ akan menjaga amanah memelihara peninggalan sejarah Rosli yang masih dalam simpanan keluarga mereka.
“Selamat berehat ‘my captain’, Tanggungjawab kitak akan kamek jaga dan pegang,” kata anak ketiga daripada lima beradik itu.
Mengenai Allahyarham Bolhassan, sepanjang hayatnya beliau sering menjadi rujukan untuk mendapatkan maklumat mengenai Rosli dalam memperjuangkan kemerdekaan Sarawak.
Allahyarham yang bertugas di Jabatan Hutan Sarawak itu memegang amanah keluarga menyimpan barangan yang pernah dimiliki oleh Rosli.
Antara barangan bersejarah yang disimpannya ialah warkah terakhir tulisan tangan Rosli kepada orang tuanya sebelum dihukum gantung penjajah British pada 2 Mac 1950 kerana didapati bersalah membunuh Gabenor British Sarawak yang kedua Sir Duncan Stewart.
Barangan lain yang disimpannya dengan baik ialah sehelai kemeja dan baju perisai yang dipakai oleh Rosli ketika membunuh Gabenor British itu.
Allahyarham disembahyangkan di Masjid Annur Sibu selepas solat Jumaat dan disemadikan di Tanah Perkuburan Sibu pada jam 4 petang, semalam.