Harian Metro

HASRAT AYAH TERBUKU DI HATI

Anak lelaki tunggal pendaki Malaysia maut di Iran tekad buat terbaik dalam SPM

- Mohd Husni Mohd Noor dan Suraya Roslan am@hmetro.com.my

Bagi anak lelaki tunggal pendaki Malaysia Ramli Abd Majid yang maut di Gunung Damavand, Iran, dia akan melakukan yang terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) esok berikutan amanat arwah bapanya supaya belajar bersungguh-sungguh dan menjadi insan berguna masih terngiang-ngiang di telinganya.

Muhammad Fauzi, 17, yang tinggal bersama datuknya di Pahang berkata, pesanan arwah bapa setiap kali melawatnya di sana supaya menjadi orang berguna akan sentiasa diingati walaupun arwah sudah tiada lagi.

“Arwah adalah bapa terbaik buat saya, kami sering mendaki gunung bersama dan pastinya kehilangan bapa satu tamparan hebat buat kami sekeluarga terutama umi (Roslida Ablah).

“Bagaimanap­un, saya percaya bapa kini di tempat terbaik di sisi Allah SWT dan akan terus mengambil tanggungja­wab menjaga umi serta melakukan yang terbaik dalam SPM,” katanya ketika ditemui sebaik jenazah bapanya selamat dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Batu 14, Taman Puchong Utama, dekat sini, semalam.

Sebelum itu, jenazah Ramli, 46, tiba di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur

(KLIA) jam 10.20 pagi sebelum dibawa keluar dengan van jenazah milik DRB Hicom sejam kemudian.

Turut sama mengiringi jenazah adalah dua peronda motosikal polis dan beberapa kenderaan dipercayai ahli keluarga mangsa termasuk isteri, Roslida, 42, abang dan kenalan arwah.

Jenazah Ramli kemudian dibawa ke Masjid Asy Syakirin, Taman Puchong Utama untuk solat jenazah dihadiri lebih 300 ahli keluarga dan sahabat sebelum dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Batu 14 jam 2.05 petang, semalam.

Muhammad Fauzi berkata, kali terakhir dia menemui bapanya pada September tahun lalu dan tiada perubahan yang dilihat pada arwah bapanya selain pesanan sentiasa menjadi manusia berguna, belajar bersungguh-sungguh dan menjaga ibunya.

“Sebaik selesai menduduki SPM, saya akan kembali tinggal dengan umi dan menunaikan amanat arwah yang mahu saya menjaga umi sebaiknya.

“Sebaik mendengar berita penemuan mayat pendaki Malaysia di pergununga­n itu, saya pasti jasad ini milik arwah bapa dan reda menerima setiap ketentuan Ilahi,” katanya.

Katanya, dia bersyukur penantian hampir setahun akhirnya bernoktah dengan ‘kepulangan’ bapa ke tanah air walaupun dalam keadaan kaku.

“Walaupun pulang dalam keadaan tidak bernyawa, kami masih bersyukur sekurang-kurangnya ada pusara untuk dikunjungi dan menamatkan penantian kami selama ini.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan bertungkus-lumus mencari arwah bapa selama ini dan menguruska­n penghantar­an pulang jenazah,” katanya.

Pada 29 Oktober lalu, Wisma Putra mengesahka­n mayat yang ditemui pihak berkuasa Iran di kawasan Gunung Damavand, Iran adalah Ramli, pendaki Malaysia yang dilaporkan hilang sejak 20 November 2016.

Mayat Ramli ditemui sekumpulan pendaki Iran ketika menuruni gunung itu pada ketinggian 4,300 meter sebelum Palang Merah Iran menghantar pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Roslida bersama abang arwah dan kenalan lain turut berada di Iran bagi membuat pengecaman sebelum jenazah dimandi dan dikafankan oleh pengurusan Pusat Pengebumia­n Behesht-e Zahra di Tehran.

Ramli hilang pada November tahun lalu bersama rakannya, Syed Redzuan Syed Salim Shatri ketika berada pada ketinggian 4,200 meter Gunung Damavand.

Bagaimanap­un, mayat Syed Redzuan ditemui enam hari selepas dilaporkan hilang, manakala Ramli masih gagal dikesan sehinggala­h ditemui setahun kemudian.

 ??  ?? AHLI keluarga menyiram pusara arwah Ramli. ORANG ramai dan ahli keluarga membawa jenazah arwah Ramli untuk dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Batu 14. VAN jenazah membawa Ramli keluar dari Kompleks Kargo KLIA untuk dibawa ke Masjid Asy Syakirin....
AHLI keluarga menyiram pusara arwah Ramli. ORANG ramai dan ahli keluarga membawa jenazah arwah Ramli untuk dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Batu 14. VAN jenazah membawa Ramli keluar dari Kompleks Kargo KLIA untuk dibawa ke Masjid Asy Syakirin....

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia