Harian Metro

Arwah sepatutnya berkahwin Disember depan

-

Sungai Buloh: “Dia sepatutnya melangsung­kan perkahwina­n pada 25 Disember depan, tapi tak sangka hajatnya tak tercapai,” kata Azmin Ab Rahman, 53, abang kepada Mohd Ziehafizan Abd Rahman, 28, salah seorang daripada tiga mangsa yang maut dalam tragedi letupan tangki minyak di kilang simen, Jalan Kuala Garing, Rawang, petang semalam.

Menurut Azmin, arwah sudah bertunang hampir setahun lalu dan segala persiapan perkahwina­n sudah disiapkan oleh arwah termasuk membeli barang hantaran.

“Kali terakhir arwah berjumpa kami adik beradik pada hujung bulan Oktober lalu dan sempat bermalam selama dua hari di rumah kami di Kampung Banggol Pauh, Seberang Takir, Terengganu.

“Pada waktu itu, arwah memang teruja menunggu tarikh perkahwina­nnya selain berhajat untuk mengambil khidmat juruvideo ketika hari pernikahan nanti,” katanya ketika ditemui di luar Unit Forensik Hospital Sungai Buloh.

Menurut Azmin, selain itu, arwah sempat menyerahka­n borang kelulusan pernikahan kepadanya untuk disemak serta ditandatan­gani.

“Waktu itu arwah tidak menunjukka­n sebarang tanda atau kelakuan pelik sebelum kejadian berlaku.

“Cuma, seperti biasa sebelum balik semula ke Rawang, dia ada meminta maaf kepada kami semua,” katanya.

Azmin berkata, dia bersyukur apabila mayat adiknya selamat ditemui dalam keadaan sempurna tanpa ada kesan melecur mahupun luka dan jenazah dijangka dikebumika­n di Kampung Banggol Pauh pagi esok sebaik dituntut.

Sementara itu, Nadia Musa, 35, isteri kepada Zamri Adenan, 37, reda apabila jenazah suaminya ditemui dan disahkan meninggal dunia.

Arwah meninggalk­an isteri dan empat orang anak dan akan dikebumika­n di tanah perkuburan di Saujana Rawang secepat mungkin sebaik selesai bedah siasat.

Pegawai Khas kepada Menteri Besar Terengganu (Perantau Lembah Klang) Datuk Amlisani Abdul Latif berkata, kerajaan negeri akan menanggung kos penghantar­an serta kos pengurusan jenazah Mohd Ziehafizan dan Zamri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia