Harian Metro

Bersungguh­lah dalam mencari ilmu

-

Ilmu adalah cahaya yang menerangi kehidupan sehingga tahu bagaimana beribadat kepada Allah dan bermuamala­h dengan hamba Allah. Orang alim (berilmu) adalah cahaya bagi manusia lain. Dia adalah petunjuk jalan kehidupan manusia. Allah akan mengangkat darjat ahli ilmu di dunia dan akhirat.

Di dunia Allah angkat darjatnya di tengah umat manusia sesuai dengan tingkat amal yang dia tegakkan. Manakala di akhirat Allah angkat darjat mereka di syurga sesuai dengan darjat ilmu yang telah diamalkan dan diajarkann­ya.

Allah dalam surah Mujadilah ayat 11 berfirman: “Nescaya Allah akan meninggika­n orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahua­n beberapa darjat.”

Sebagai umat Islam kita harus belajar dan mencari ilmu agar dapat memajukan institusi Islam supaya tidak dipandang rendah oleh agama lain.

Kita juga perlu belajar agar menguasai sesuatu bidang dengan sempurna dan menyeluruh. Ini kerana sebagai penuntut ilmu, kita bertanggun­gjawab menyampaik­an ilmu kepada orang lain.

Untuk menggalas tanggungja­wab itu, perlu ada persediaan rapi dan salah satu adalah menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh. Ilmu yang mantap adalah bekalan yang perlu ada kepada setiap pendakwah.

Berapa banyak keaiban yang diterima oleh Islam hanya kerana pendakwah tidak mempunyai kemantapan ilmu lalu mendatangk­an krisis keyakinan kepada masyarakat. Pepatah Arab ada menyebut: “Orang yang tidak mempunyai apa-apa tidak akan dapat memberikan apa-apa.”

Kita perlu mengikut jejak pendakwah terdahulu yang melakar sejarah gemilang. Satu faktor kegemilang­an dakwah mereka dalam menyampaik­an ilmu kerana mereka menguasai sesuatu bidang dengan faqih atau dengan benar-benar faham. Semua ini tidak akan berlaku sekiranya mereka tidak bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu.

Malah, para ulama sering menyebutka­n: “Ilmu tidak akan diperoleh dengan tubuh yang santai (tidak bersungguh­sungguh).” Lihatlah bagaimana zaman para sahabat, para ulama dalam menuntut ilmu. Mereka begitu tekun dan bersungguh­sungguh sehingga jika kita membaca sejarah kesungguha­n mereka dalam menuntut ilmu pasti penuntut ilmu seperti hari ini akan berasa malu.

Mereka hidup di zaman yang serba kekurangan, namun tidak pernah putus asa dalam mencari ilmu. Malah mereka mendalami ilmu dengan cemerlang. Sebagai contoh Imam Syafie, beliau berlelah dalam belajar, hingga mencapai darjat yang kita ketahui saat ini.

Beliau bercerita tentang proses belajarnya, “Aku telah menghafalk­an al-Quran saat berusia tujuh tahun dan menghafal al-Muwaththa (buku hadits yang disusun Imam Malik) saat berusia 10 tahun.” (Abu al-Hajjaj al-Mizzi dalam Tadzhib al-Kamal).

Berkat ketekunan dan keikhlasan, beliau muncul sebagai imam besar yang mempunyai ilmu yang tinggi dan memberi sumbangan kepada umat Islam. Melalui dirinya, Allah memberikan manfaat kepada umat manusia iaitu ilmu. Tidak hanya di zamannya saja. Tapi manfaat itu terasa hingga masa kita sekarang.

Oleh yang demikian, setiap penuntut harus sedar kita memikul amanah yang besar iaitu untuk berdakwah dengan menyampaik­an ilmu pada orang lain. Tetapi sekiranya kita tidak bersungguh­sungguh menuntut ilmu, bagaimana mahu menggalas tanggungja­wab itu.

Sesesorang da’i itu perlu ada persediaan rapi sebelum melangkah ke arena dakwah. Persediaan ilmu sangat penting dan perlu diambil perhatian.

Tersalah langkah, objektif dakwah akan tersasar malah memberi impak negatif kepada diri da’i itu sendiri dan masyarakat sekeliling­nya.

Justeru, tuntutlah ilmu dengan bersungguh-sungguh, mudah-mudahan pendakwah yang memilki ilmu yang mantap bakal mewarnai arena dakwah dengan penuh cemerlang, insya-Allah.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia