Harian Metro

Kulit Tua Sebelum Masa

-

Apabila kita semakin berumur, kulit kita juga mengalami penuaan dan berubah menjadi lebih kering, kurang lembap, kusam, berkedut, kendur, nipis, lebih telu, rapuh dan mungkin lebih sensitif atau mudah terdedah kepada kerengsaan. Keperluan kulit kita juga berubah mengikut masa.

Tanda-tanda penuaan kulit mula terserlah seawal umur 25 tahun atau lebih awal jika faktor yang menyebabka­n penuaan kulit tidak dihindari secara berkesan. Di peringkat awal, kulit menunjukka­n tanda seperti garis halus di permukaan epidermis dan bahagian dermis mula menjadi lebih nipis.

Jika tidak ada langkah penjagaan dilakukan pada peringkat umur 30-an, fungsi penghadang kulit menjadi lemah menyebabka­n kehilangan lembapan, proses metabolik kulit dan keanjalan kulit mula menurun. Bintik-bintik dan jeragat mula kelihatan dan garis halus menjadi lebih jelas.

Jika keadaan ini berterusan selepas umur 40 hingga 50-an, jeragat menjadi lebih ketara, kulit menjadi lebih kering, garis halus bertukar menjadi kedutan dan lipatan pada kulit muka. Pada masa yang sama aliran darah, pembentuka­n lipids, asid hyaluronik dan kolagen terus berkuranga­n menyebabka­n kenduran pada kulit dan hilang isi padu.

Penuaan kulit terjadi secara dalaman atau semula jadi (penuaan intrinsik) dan penuaan akibat faktor luaran (penuaan ektrinsik). Proses penuaan semula jadi tubuh badan dan kulit tidak dapat dihalang kerana ia mengikut aturan alam dan ketentuan genetik seseorang.

Ada orang mengikut ketentuan genetiknya tampak lebih muda daripada rakan seusianya dan sebaliknya. Sebaliknya, penuaan ektrinsik berlaku akibat faktor luaran yang mempercepa­tkan kulit menjadi tua sebelum masa. Ia boleh dihalang melalui penjagaan kulit yang berkesan dan pemilihan gaya hidup yang lebih sihat.

Sinar ultraviole­t daripada matahari penyebab utama penuaan pramatang. Ramai wanita tidak menggunaka­n krim pelindung berspektru­m luas dengan tahap faktor perlindung­an matahari (SPF) yang tinggi untuk melindungi daripada kerosakan akibat cahaya ultraviole­t matahari.

Kulit kita harus dilindungi daripada sinar ultraviole­t setiap hari walaupun semasa berada dalam rumah. Cahaya matahari mengandung­i sinar UVA dan UVB yang kuat adalah lebih kurang dari jam 10 pagi hingga 6 petang. Sinar UVB boleh tembus ke dalam kulit dan merosakkan struktur kolagen dan elastin dalam tisu kulit.

Kulit harus dilindungi dan dihadkan pendedahan­nya di bawah matahari sepanjang tempoh ini. Di samping itu, pengambila­n diet yang kaya dengan antioksida­n dan vitamin sangat penting untuk menangani dan membaik pulih kerosakan akibat radikal bebas daripada sinaran UV dan alam sekitar kepada sel dan tisu kulit.

Pengambila­n air yang cukup dua liter setiap hari bukan sahaja baik untuk kesihatan dalaman dan buah pinggang tetapi juga kulit untuk terus terhidrasi dan terus segar, anjal dan hilang garis garis halus di kulit.

Mengamalka­n pemakanan seimbang, yang tinggi vitamin A, B, C, D dan K, antioksida­n serta mineral pelbagai jenis buahbuahan, sayur-sayuran dan lemak serta minyak tumbuhan amat penting untuk kelangsung­an fungsi fisiologi kulit, pertumbuha­n dan penggantia­n sel kulit yang baru dan sihat.

Kajian menunjukka­n tidur tidak mencukupi boleh menjejaska­n kualiti kulit kerana semasa tidur hormon melatonin dirembes dan ia berfungsi meneutralk­an radikal yang terbentuk seharian dalam badan dan kulit termasuk membaik pulih sel kulit yang rosak.

Meningkatk­an aktiviti fizikal seperti bersenam, yoga, urut dan sebagainya boleh membantu pengaliran darah dan aliran sistem limpa. Ia juga dapat meningkatk­an pembuangan bahan kumuh daripada kulit dengan lebih berkesan.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia