Harian Metro

DREBAR BOGEL REMPUH RUMAH

Pemandu lori gagal cari lokasi hantar bekalan kelapa rempuh rumah, rosakkan kenderaan

- Rosli Ilham am@hmetro.com.my

“Pemuda itu dikatakan keluar dari lorinya dalam keadaan berbogel selepas merempuh pagar rumah terbabit,” kata Mat Deris Mat Yim, 60, mengenai kejadian amuk pemandu lori di Rumah Murah Nibong, dekat sini, malam kelmarin.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada di bandar Dungun sebelum dihubungi isterinya yang memaklumka­n rumah jirannya menjadi mangsa amukan lelaki berkenaan, lalu dia bergegas pulang.

Setibanya di rumah, didapati lelaki itu berada di dalam kediaman jirannya sambil memecahkan cermin tingkap serta merosakkan pelbagai barangan.

“Ketika kejadian, jiran saya bersama anak dan menantunya berada di Kemaman dipercayai menghadiri kenduri saudara mereka.

“Saya dan penduduk yang lain tidak berani bertindak kerana pemuda itu memegang besi paip panjang dan dia berada di dalam rumah sambil mengamuk hampir satu jam.

“Kami menghubung­i polis sebelum beberapa anggota polis tiba dan menahan serta membawanya ke balai untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menantu pemilik rumah yang diceroboh lelaki berkenaan, Khairul Anuar Ghazali, 31, bersama isteri, anak dan ibu mentua serta birasnya berada di Kemaman ketika kejadian.

“Sebaik menerima panggilan telefon daripada jiran, saya dan biras segera pulang dan terkejut apabila mendapati lori saya dan kereta Proton Saga milik biras dirosakkan pemuda terbabit.

“Saya dan keluarga tidak pernah mengenali lelaki itu. Saya pelik kenapa rumah ibu mentua saya menjadi sasaran dan apa motif sebenarnya? “Kalau nak kata lelaki itu tidak waras, bagaimana pula dia dari Kuantan boleh pandu lori hingga ke Dungun,” katanya ketika ditemui di rumah mentuanya. Menurutnya, hujan lebat ketika kejadian itu dan lelaki berkenaan dikatakan mengamuk dengan memecahkan cermin depan dan tepi lori yang dipandunya sebelum cuba masuk ke dalam rumah namun pagar depan berkunci.

Katanya, lelaki berkenaan masuk semula ke dalam lorinya sebelum merempuh pagar hingga menyebabka­n konkrit garaj rumah pecah.

“Barangan dalam rumah juga banyak rosak serta bersepah. Semua ikan dan sayur di dalam peti ais juga disepahkan lelaki itu,” katanya.

Khairul berkata, keluargany­a bernasib naik kerana tiada di rumah ketika kejadian kerana mungkin keadaan menjadi lebih teruk sekiranya mereka ada di situ.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superinten­dan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahka­n kejadian dan lelaki berusia 39 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, lelaki berkenaan juga didapati berada dalam pengaruh dadah ketika kejadian selepas ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati dia positif ganja.

Siasatan juga mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes penyalahgu­naan dadah.

“Siasatan mendapati suspek yang berasal dari Bukit Setongkol, Kuantan itu membawa bekalan kelapa untuk dihantar ke daerah ini sebelum kejadian.

“Suspek dipercayai bertindak demikian mungkin kerana berang selepas gagal menemui lokasi menghantar bekalan kelapa terbabit.

“Kami akan mendapatka­n perintah reman terhadap suspek hari ini untuk siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? KEADAAN rumah dan kenderaan mangsa yang rosak akibat kejadian amuk pemandu lori, semalam.
KHAIRUL menunjukka­n cermin hadapan lorinya yang turut dipecahkan suspek.
KEADAAN rumah dan kenderaan mangsa yang rosak akibat kejadian amuk pemandu lori, semalam. KHAIRUL menunjukka­n cermin hadapan lorinya yang turut dipecahkan suspek.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia