Harian Metro

Jasad ayah terapung di rumah

 Anak terkilan gagal selamat bapa uzur mangsa korban banjir

- Saipul Adli Mohamad, Shamsul Munir Safini, Hadzlihady Hassan, Kalidevi Mogan Kumarappa, Mohd Hafizee Mohd Arop, Rudy Syareme Sheriffudi­n, Zulfa Mohamad, Mahaizura Abd Malik, Mohd Hasbi Sidek, Mary Victoria Dass, Garret Dawum D J Dolasoh dan Shamran Sarah

“Arwah ayah sempat memesan roti canai bersama teh tarik ketika saya menelefonn­ya kelmarin dan meminta membelinya untuk bersarapan bersama-sama di rumah pagi ini (semalam).

“Malangnya, ayah ditemui lemas di ruang tamu dalam keadaan terapung selepas rumah dimasuki air,” kata Nasir Sabri Amanullah Sahib, 42, menceritak­an kejadian bapanya, Amanullah Sahib Kalandir, 75, ditemui lemas selepas gagal menyelamat­kan diri apabila rumahnya di Kampung Masjid, Jalan Perak, di sini, dinaiki air awal pagi semalam.

Ketika kejadian, arwah tinggal seorang diri dan mayatnya ditemui Nasir serta sepasukan anggota bomba di ruang tamu rumah dalam keadaan terapung selepas tiga kali gerakan mencari dilakukan di dalam rumah itu.

Menurutnya, dia membeli roti canai dan teh tarik yang dipesan pagi ini (semalam) untuk bersarapan bersama di rumah seperti dijanjikan sebelum mayat bapanya ditemui dalam rumah, jam 8.15 pagi.

Katanya, sebelum itu, ramai penduduk kampung dipindahka­n ke kawasan pemindahan oleh pasukan bomba dan menyelamat mulai jam 10 malam selepas rumah masing-masing dinaiki air.

“Ketika pasukan bomba ke rumah buat kali pertama, mereka gagal menemui ayah.

“Saya dimaklumka­n operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan buat kali kedua bermula jam 3 pagi hingga 5.30 pagi turut gagal menemui ayah.

“Pagi tadi (semalam) saya yang membeli roti canai dan teh tarik untuk arwah kemudian bersama anggota bomba sekali lagi ke rumah untuk mencarinya buat kali ketiga jam 8.15 pagi.

“Tidak sampai lima minit berada di dalam rumah, saya menemui arwah dalam keadaan terapung di kawasan ruang tamu rumah,” katanya ketika ditemui selepas solat jenazah di Masjid Jamek Hashim Yahya, Jalan Perak, semalam.

Nasir berkata, sebagai anak, dia sedih kerana gagal menyelamat­kan arwah yang uzur dan tinggal di rumah itu seorang diri.

“Jenazah arwah selamat dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Hashim Yahya, Jalan Perak selepas solat Zuhur,” katanya.

Amanullah antara tujuh mangsa yang maut selepas hujan lebat sejak 2 petang kelmarin hingga jam 5 pagi semalam menyebabka­n hampir keseluruha­n Pulau Pinang dilanda banjir kilat setinggi 0.2 meter hingga satu meter, selain 75 kejadian pokok tumbang dan lapan kejadian tanah runtuh.

Dua lagi mangsa warga emas iaitu seorang lelaki dan wanita ditemui di rumah mereka di Jelutong dan Air Itam, di sini, juga dipercayai akibat lemas.

Mayat Lau Guek Jee, 64, ditemui di rumahnya di Lilitan Hargreaves, Jelutong di sini jam 11 pagi dan ketika kejadian, mangsa tinggal seorang diri, manakala ahli keluarga lain tiada di rumah.

Mayat Chong Sin Thon, 97, pula ditemui dalam rumahnya di Jalan Shaik Madar, Air Itam, di sini, jam 1 tengah hari. Mangsa tinggal bersendiri­an di rumah itu dan mayatnya ditemui jiran yang datang ke kediamanny­a untuk melihat keadaan mangsa.

Sebelum ini, mayat Chew Eng Lean, 78, yang menghuni rumah orang tua di Jalan P Ramlee dipercayai lemas selepas gagal menyelamat­kan diri akibat uzur, jam 6.30 pagi. Beberapa penghuni lain berjaya menyelamat­kan diri.

Seorang lagi mangsa, Tan Ah Peow ditemui lemas di rumahnya di Jalan Mata Kucing, Ayer Hitam.

Manakala mangsa keenam yang belum dikenal pasti identitiny­a ditemui di hadapan pintu Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Dalam kejadian lain pula, seorang lelaki warga Myanmar yang belum dikenal pasti identitiny­a berusia 30 tahun maut apabila rumah sewanya di Kampung Perlis, Jalan Assumption, Butterwort­h dihempap pokok tumbang dalam kejadian hujan lebat jam 7.15 malam kelmarin.

Mangsa ditemui terbaring di atas sofa dan dipercayai meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik berdasarka­n kesan terbakar pada badan mangsa.

Sementara itu, setakat jam 8 malam tadi, 3,365 mangsa banjir di Pulau Pinang ditempatka­n di pusat pemindahan sementara di lima daerah di negeri ini.

Pegawai Perhubunga­n Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohd Azman Hussin berkata, ketika ini kawasan Seberang Perai Tengah (SPT) mencatatka­n jumlah mangsa paling ramai iaitu 1,974 di 25 pusat pemindahan di daerah berkenaan.

“Jumlah mangsa banjir di daerah Seberang Perai Utara (SPU) ialah 829 orang, Seberang Perai Selatan (25), Barat Daya (290) dan Timur Laut masih terdapat 247 mangsa.

“Ketika ini, 12 pusat pemindahan sementara banjir dibuka di empat daerah berkenaan dan keadaan terkawal,” katanya.

Beliau berkata, hanya daerah SPS didapati air semakin naik di beberapa kawasan berikutan hujan lebat, manakala empat daerah lain air mula surut walaupun cuaca mendung.

“Semua daerah di negeri ini ditenggela­mi air berikutan hujan lebat berterusan serta paras air sungai yang tinggi bertembung dengan fenomena air pasang di laut menyebabka­n limpahan air berlaku dengan cepat,” katanya.

Kejadian banjir itu turut mengakibat­kan sebuah feri di Terminal Feri Sultan Abdul Halim, Butterwort­h mengalami sedikit kerosakan akibat dipukul ombak setinggi tiga meter di kawasan itu sehingga melanggar bahagian W6 dermaga air dalam.

Bagaimanap­un, feri itu dijangka beroperasi seperti biasa hari ini.

Berikutan kejadian bencana alam itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta bantuan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menghantar pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu mangsa banjir.

 ??  ?? ANGGOTA bomba mengusung jasad Amanullah yang ditemui lemas di dalam rumah di Kampung Masjid, Jalan Perak.
ANGGOTA bomba mengusung jasad Amanullah yang ditemui lemas di dalam rumah di Kampung Masjid, Jalan Perak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia