Harian Metro

Pelajar mengaku miliki dua bom

-

Kota Bharu: Seorang pelajar lelaki tingkatan enam mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu di sini, semalam terhadap tuduhan memiliki dua bom buatan sendiri dipercayai untuk digunakan dalam serangan di pesta arak

Oktober lalu. Muhamad Hafizi Mat Jusoh, 19, calon peperiksaa­n Sijil Tinggi Persekolah­an Malaysia (STPM) yang bermula hari ini membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut kertas pertuduhan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman, Pasir Puteh itu didakwa memiliki dua bom

yang menyalahi undang-undang di sebuah rumah di Kampung Merkang, Pasir Puteh, jam 6.05 petang, 10 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan miniman enam sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang dipercayai terbabit dengan aktiviti kumpulan pengganas sejak berusia 12 tahun turut berdepan empat tuduhan lain termasuk terbabit dengan pengganas Daish namun tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh hanya mengangguk faham.

Empat tuduhan itu ialah dakwaan memiliki gambar, video dan dokumen, memaparkan bahan berkaitan kumpulan pengganas memberi latihan menerusi WhatsApp dan hadir di tempat latihan pengganas Daish antara 23 September 2017 hingga 10 Oktober 2017.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa masing-masing mengikut Seksyen 130JB(1), 130JB(1)(b), 130F(a) dan 130FB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Di mahkamah sama, dua tertuduh lain, Azmi Ahmad Rosli, 24, yang juga buruh berdepan tiga tuduhan terbabit dengan kumpulan pengganas Daish dan didakwa mengikut Seksyen 130FA(a) kanun sama kerana menerima latihan pengganas melalui WhatsApp serta Seksyen FB (1)(a) dan Seksyen 130JB(1)(a) kanun sama.

Sementara, bekas tentera, Mahadi Ibrahim, 34, menghadapi dua tuduhan dan didakwa mengikut Seksyen 130FA(a) serta Seksyen 130FB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Tiada keterangan direkodkan dan kedua-dua tertuduh hanya mengangguk faham.

Pertuduhan membabitka­n Seksyen 130F adalah pertama kali dituduh di negara ini.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor yang tidak menawarkan sebarang jaminan dan ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 6 Disember depan sebagai tarikh jatuh hukum terhadap Mohd Hafizi dan sebutan semula kes serta permohonan untuk pemindahan kes ke Mahkamah Putrajaya bagi ketiga-tiga tertuduh.

 ??  ?? ANGGOTA polis mengiringi tiga suspek di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam.
ANGGOTA polis mengiringi tiga suspek di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia