Harian Metro

Saratoga teman musim sejuk

-

Apabila angin malam sudah mencecah 18 darjah Celcius dan bertukar semakin sejuk, malah kipas juga sudah tidak dipasang. Selain itu, saratoga (selimut tebal) juga sudah mula dihantar ke kedai dobi dan keadaan ini menunjukka­n petanda peralihan musim sejuk sudah bermula.

Di Mesir, perubahan cuaca tidaklah seperti negara empat musim. Di sini, musim panas dan sejuk yang paling ketara. Musim panas mencapai puncaknya pada Jun sehingga September. Suhu pada musim panas boleh mencecah 45 darjah Celcius, manakala musim sejuk pula, biasanya bermula Oktober dan berakhir Februari.

Suhu musim sejuk antara tujuh hingga 18 darjah Celcius. Walau tanpa salji turun, suhu yang makin rendah amat sejuk bagi kami di perantauan.

Selalunya perubahan cuaca dapat dilihat dengan turunnya hujan secara tiba-tiba. Disebabkan Mesir kurang taburan hujan, air yang turun ini menandakan musim sejuk akan tiba. Rakyat Mesir berpesta dengan turunnya hujan buat kali pertama, biasanya pada Oktober. Mereka akan berjalan di bawah titisan hujan dan membiarkan diri mereka lencun dibasahi air hujan. Hujan di sini tidaklah selebat di Malaysia, namun rakyat Mesir sangat gembira dan bersyukur apabila turunnya hujan. Bagi mereka, hujan adalah nikmat dan rahmat daripada Allah SWT.

Menjelang perubahan musim, hospital dan klinik sering dikunjungi pesakit. Hal ini disebabkan apabila berlakunya perubahan musim, badan kita bertindak balas untuk menyesuaik­an diri dengan cuaca yang baru. Penyakit yang selari dengan musim sejuk seperti selesema, demam dan batuk mula menyerang penduduk termasuk kami. Maka tidak hairanlah ramai di antara kami diuji dengan masalah kesihatan tadi.

Antara perkara yang dapat dilakukan adalah dengan memakai pakaian tebal. Apabila musim sejuk bermula, pakaian tebal perlu dipakai untuk menutup anggota badan yang sensitif seperti tangan dan kaki. Kelihatan banyak kedai pakaian mula menjual pakaian sejuk seperti kot tebal, sarung tangan dan mafla. Harga pakaian sejuk berbeza mengikut jenama dan ketebalann­ya.

Terdapat banyak kedai pakaian terpakai menjual baju sejuk dengan harga sangat murah sehingga LE40 (RM10).

Kami juga sudah mula menurunkan saratoga (selimut tebal) daripada almari setelah ia disimpan rapi selama enam bulan. Saratoga selimut tebal diperbuat daripada baldu. Saratoga sudah mula dihantar ke kedai dobi untuk dibasuh. Disebabkan rumah di Mesir tidak dilengkapi alat pemanas hawa maka penggunaan saratoga amat penting pada musim sejuk untuk tidur yang lena.

Saratoga adalah ‘ujian’ bagi kami setiap pagi untuk bangun ke kelas. Harga saratoga agak mahal kerana saiznya yang besar dan berat. Secara purata harga saratoga kira-kira LE150 ke LE300 (RM80).

Begitu juga ubat-ubatan sudah mula kami beli dan simpan sebagai persediaan musim sejuk. Ia sebagai langkah berjaga-jaga jika jatuh sakit dan tidak larat untuk keluar. Lagipun, kedai sudah mula ditutup awal kerana waktu siangnya semakin pendek. Lazimnya, apabila tiba musim sejuk, angin yang bertiup bukan hanya dingin tetapi kering. Lantas, losen badan dan Vaseline perlu ada untuk mengurangk­an kekeringan kulit. Apabila kulit kering tidak dilapisi losen, mudah bagi kulit tadi terluka dan berdarah kerana keadaan kulit semakin menipis. Bibir juga perlu disapu Vaseline kerana mudah merekah dan berdarah. Penting sentiasa minum air kosong untuk menggantik­an air badan yang cepat kering semasa musim sejuk ini.

Manfaatkan musim sejuk yang akan datang untuk beribadat sebaiknya. Hasan al-Basri pernah berkata: “Senikmat-nikmat seorang Mukmin ialah pada musim sejuk, malamnya panjang untuk bertahajud, siangnya pendek untuk berpuasa.”

Ulama dulu apabila tiba musim sejuk mereka akan berasa sangat gembira untuk beribadat.

Siangnya pendek, mudah untuk berpuasa sunat dan malamnya panjang, mudah untuk beribadat lama. Semoga kita sama-sama dapat memanfaatk­an setiap masa yang diberi Allah SWT bukan sekadar musim sejuk mahupun panas. Penulis Pelajar Universiti Alexandria, Mesir

 ??  ?? PERUBAHAN ke musim sejuk dapat dilihat dengan turunnya hujan secara tiba-tiba.
PERUBAHAN ke musim sejuk dapat dilihat dengan turunnya hujan secara tiba-tiba.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia