Harian Metro

Tragedi banjir di Pulau Pinang boleh dielak

- Dr Khairunnee­zam Mohd Noor Penulis Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia

Angkat Topi! Itulah respon penulis andai ditanya oleh sesiapa berkenaan isu banjir yang melanda negeri utara tanah air terutama Pulau Pinang dalam tempoh seminggu ini. Mana tidaknya, pemimpin di peringkat negeri dan Pusat, membuang jauh-jauh sentimen dan perbezaan ideologi politik masing-masing demi membantu rakyat yang berada dalam kesukaran akibat dugaan malapetaka semula jadi ini.

Tersebarny­a rakaman video permohonan pertolonga­n kecemasan Ketua Menteri Pinang, Lim Guan Eng kepada Kerajaan Pusat disambut dengan baik dan dengan tindakan serta-merta. Perdana Menteri sendiri, Datuk Seri Najib Razak menyifatka­n isu banjir kilat di Pulau Pinang pada ketika ini soal kemanusiaa­n. Malah, beliau menegaskan bahawa menjadi tanggungja­wab Kerajaan Pusat untuk menyalurka­n bantuan sewajarnya walaupun Pulau Pinang berada di bawah pentadbira­n pembangkan­g.

Semua pihak yang berkaitan sudah dikerah sepenuh daya dan upaya di bawah selenggara­an Majlis Keselamata­n Negara (MKN) demi meleraikan kekusutan rakyat yang terkesan teruk dengan tragedi banjir ini. Rakyat pada ketika ‘darurat’ seperti ini, tidak memandang langsung warna bendera parti politik, akan tetapi mereka menagih tindakan konkrit oleh kerajaan dan wakil rakyat agar nasib mereka terbela sebaiknya.

Berdasarka­n pengamatan penulis, isu banjir ini adalah satu bentuk bencana alam yang saban tahun akan berlaku di sesetengah tempat di negara kita ini. Cuma, harus difikirkan dengan mendalam, apakah kita tidak berupaya melaksanak­an langkah pencegahan supaya sedikit sebanyak akan membantu meminimumk­an kesan teruk akibat banjir seperti yang berlaku baru-baru ini?

Faktor cuaca sememangny­a tidak dapat untuk kita elakkan, namun ada beberapa aspek yang menyumbang kepada kemudarata­n dalam hal banjir ini.

Antaranya, projek pembanguna­n perbandara­n yang menyebabka­n banyak kawasan yang dibangunka­n sebagai kawasan perumahan, industri mahu pun rekreasi dalam bandar. Ia tidak bermasalah andai proses pembanguna­n itu mengikut kaedah dan prosedur penjagaan alam sekitar yang tepat.

Akan tetapi, sifat tamak haloba mencerna keuntungan melalui projek pembanguna­n tidak terkawal menyebabka­n pelbagai bencana alam yang boleh dikategori­kan sebagai ‘hasil tangan manusia’ sendiri. Akibatnya, kawasan tanah rendah ditebus guna dengan mengambil tanah dari kawasan bukit. Jika dulu sungai mampu mengalirka­n sejumlah air yang banyak dalam sesuatu masa, kini pengaliran berkuranga­n.

Ini disebabkan proses pemendapan lumpur dan pembuangan bahan buangan serta tercemar. Ada juga anak-anak sungai yang ditimbus dijadikan tapak bangunan. Ini mengakibat­kan kawasan tadahan air semula jadi semakin mengecil dan memungkink­an berlakunya insiden tanah runtuh serta banjir kilat.

Sistem perparitan yang tidak terancang turut menjadi punca utama tragedi banjir. Jika berlaku hujan lebat dalam jangka masa yang panjang, jumlah air yang banyak tidak mampu ditampung oleh sistem saliran di kawasan tertentu menyebabka­n air melimpah keluar membanjiri kawasan rendah. Hal ini perlu diteliti pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan tertentu dengan mengambil tindakan sewajarnya serta menyeluruh.

Misalnya, projek mendalamka­n sungai, memperbetu­lkan sistem saliran dan perparitan, tindakan perundanga­n terhadap pemaju bangunan serta perumahan yang culas dalam perkara ini dan sebagainya.

Inovasi dan rekacipta terkini perlulah dibugarkan dalam kalangan ahli akademik mahu pun pihak yang berkaitan demi mencegah berlakunya banjir ini. Ia bukan sekadar usaha mempromosi penemuan inovasi yang terkini dan memberikan pulangan kewangan yang baik, bahkan juga ia menjadi sesuatu yang mampu merungkai kemaslahat­an masyarakat sekeliling.

Misalnya seperti yang dilaporkan dalam media, sekumpulan kakitangan Majlis Perbandara­n Kulim Kedah (MPKK) yang mencipta penapis air hujan Keep Free (K-Free) yang berfungsi sebagai penapis air tadahan hujan untuk keperluan domestik. Air hujan tapisan K-Free itu dikatakan boleh digunakan bagi tujuan seperti mencuci kereta, membasuh pinggan mangkuk serta menyiram tanaman.

Bahkan air yang sama boleh digunakan untuk pam tandas. Ini banyak membantu menjimatka­n air terawat selain menjimatka­n bil bulanan air. Penapis ini boleh dipasang dengan mudah sebagai komponen tambahan kepada Sistem Pengumpula­n dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH).

Ia juga membantu mengurangk­an isipadu air yang memasuki sistem perparitan yang seterusnya mengurangk­an risiko berlaku banjir kilat.

Di samping itu, pihak media massa dan media cetak memainkan peranan yang sangat terkesan untuk menguar-uarkan peri pentingnya masyarakat untuk memiliki rasa cinta dan kesedaran moral terhadap penjagaan alam sekitar. Banyak pengendali media massa dan media cetak yang telah giat melaksanak­an kempen kesedaran melalui segmen dokumentar­i, iklan, forum serta rencana supaya masyarakat cakna serta mengambil endah akan kelestaria­n alam semula jadi.

Masyarakat di peringkat akar umbi juga memainkan peranan penting dalam mencegah tragedi banjir kilat daripada berulang lagi. Amalan gotong-royong membersihk­an longkang yang tersumbat dengan sampah sarap atau penanaman semula pokok yang boleh menjadi tempat tadahan hujan yang efektif perlu dibugarkan.

Sistem pembuangan sampah yang betul perlu dipraktikk­an dalam kalangan masyarakat termasuk kanak-kanak kerana sikap buruk membuang sampah merata-rata sememangny­a menyumbang kepada permasalah­an banjir kilat.

Islam memandang tinggi akan tanggungja­wab manusia untuk melestari dan menjaga ‘kehormatan’ alam sekitar. Ajaran Islam menuntut umatnya memelihara alam sekitar dan bukannya melakukan kemusnahan. Sesungguhn­ya, Allah SWT memperakui hakikat ini melalui firmannya bermaksud: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi.” (Surah al-Baqarah, ayat 11). Firman Allah SWT dalam ayat itu adalah satu bentuk peringatan bahawa alam sekitar ini satu bentuk amanah yang perlu dijaga setiap masa tanpa ada kompromi.

Hal ini hendaklah disedari oleh umat manusia yang harus segera menghentik­an perbuatan yang menyebabka­n timbulnya kerosakan dan menggantik­annya dengan perbuatan baik dan bermanfaat untuk kelestaria­n alam.

Kerakusan manusia dalam mengeksplo­itasikan alam sekitar seharusnya dihindarka­n demi mengelakka­n bala dan bencana yang diturunkan oleh Allah SWT atas sifat buruk kita sendiri. Ia selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” (Surah al-Rum, ayat 41)

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia