Dah naik menyampah
Enam pemandu teksi enggan guna meter diperangkap penguat kuasa menyamar
Berbuih nasihat diberikan namun masih ramai pemandu teksi enggan menggunakan meter tambang seperti disyaratkan.
Susulan pelbagai laporan diterima, penguat kuasa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bersama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyamar sebagai penumpang bagi membanteras kegiatan pemandu teksi degil ini.
Menerusi Op Bersepadu di sekitar ibu negara kelmarin, enam pemandu teksi diperangkap dalam operasi bermula jam 3.30 petang semalam.
Sebanyak sembilan teksi turut diambil tindakan termasuk sebuah kereta sapu yang mengganggu periuk nasi pemandu pengangkutan awam lain.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahaya berkata, operasi membabitkan seorang pegawai dan 19 anggota JSPT bersama seorang pegawai dan 20 anggota SPAD tertumpu di pusat bandar sekitar Pavilion, Berjaya Times Square, KLCC dan Jalan Petaling di sini.
Menurutnya, sepanjang operasi itu, semua pegawai dan anggota JSPTKL melakukan penyamaran bagi menjejaki pemandu teksi dan kereta sapu yang menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang di kawasan tumpuan pelancong.
“Sebanyak lapan teksi dan sebuah kereta persendirian yang dijadikan teksi sapu diambil tindakan dalam operasi yang berakhir jam 6 petang itu.
“Daripada jumlah itu, enam individu diambil tindakan kerana tidak menggunakan meter, dua kerana menutup kadar tambang dan satu kesalahan menjalankan perkhidmatan pengangkutan awam tanpa lesen pengendali,” katanya.
Beliau memberitahu, semua pemandu itu diberi notis mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 untuk pendakwaan di mahkamah.
Beliau berkata, semua kenderaan disita ditunda ke depoh SPAD di Sepang.