CERIA BERGANDA
Sultan Muhammad V berkenan serah kunci kepada 13 penerima kediaman Program Baiti Jannati
Kuala Lumpur
“Hanya Allah yang tahu betapa bersyukurnya saya sekeluarga apabila terpilih menerima bantuan rumah ini dan lebih bermakna apabila
Yang di-Pertuan Agong sendiri yang mengurniakan kepada kami.
“Alhamdulillah, impian saya sekeluarga selama ini untuk memiliki rumah sendiri akhirnya kini tercapai,” kata pesakit
Systemic Lupus Erythematosus (SLE), Norhidayah Abd Razak, 31.
Menurut Norhidayah, dia sebelum ini mencari rezeki dengan membantu ibunya berniaga makanan, selain pernah bekerja dengan syarikat swasta di ibu kota.
Begitu pun selepas disahkan menghidap penyakit berkenaan, Norhidayah terpaksa berhenti kerja kerana kesihatan yang tidak mengizinkan.
Kata anak bongsu daripada empat beradik itu, ibu bapanya uzur dan mereka sekeluarga kini bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan selain sumbangan Pusat Khidmat UMNO Putrajaya.
“Baik saya mahupun ibu bapa, kami memang tidak mampu membeli rumah sendiri dan selama ini tinggal menyewa di PPRT Bonus.
“Pemberian ini amat besar ertinya dan kami sekeluarga tidak sabar untuk mendiaminya. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu meringankan beban kami,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan unit rumah Program Baiti Jannati @Wilayah Persekutuan di Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak, semalam.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V mencemar duli berangkat untuk menyempurnakan majlis penyerahan berkenaan.
Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan isteri, Datin Seri Anggraini Sentiyaki serta Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz.
Sementara itu, ibu tunggal, Lachmi Ramasamy, 67, berkata, dia sekeluarga sebelum ini menetap di PPRT Ayer Panas dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan diberikan JKM.
Lachmi yang kematian suami sejak 35 tahun lalu, meluahkan perasaan gembira dan menganggap pemberian rumah percuma itu rezeki paling istimewa sepanjang umurnya.
“Mak cik tidak sabar untuk membawa anak dan cucu tinggal bersama di rumah baru itu nanti,” katanya.