Gendong 817 kad kredit klon dari Hong Kong
Kota Kinabalu: Seorang lelaki disyaki dijadikan ‘keldai’ untuk membawa masuk 817 kad kredit klon pelbagai bank ke negeri ini ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.25 pagi, lelaki berusia 34 tahun itu dikatakan baru tiba dari Hong Kong ke negeri ini dengan menaiki penerbangan komersial.
Menurut sumber, hasil pemeriksaan menerusi mesin pengimbas yang dilakukan pegawai kastam mendapati beg galas dibawa lelaki berkenaan mempunyai imej meragukan.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut kemudian mendapati beg galas itu berisi empat kotak mengandungi kad kredit pelbagai bank.
Sumber berkata, selepas pemeriksaan lanjut, lelaki itu disoal siasat kastam dan notis dikeluarkan untuk menahan barang dibawanya kerana terdapat keraguan kemungkinan suspek terbabit dengan sindiket kad kredit palsu.
Beliau berkata, lelaki itu kemudian ditahan kira-kira jam 2.30 pagi dan barang dibawanya turut dirampas dan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, hasil siasatan awal, suspek dipercayai diupah untuk membawa masuk kad kredit klon pelbagai bank dalam dan luar negara dari Hong Kong untuk ahli sindiket bagi tujuan pemalsuan kad kredit antarabangsa.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din mengesahkan mengenai penahanan suspek dan rampasan kad kredit klon pelbagai bank di KKIA.
“Ya, ada seorang lelaki ditahan dan sebanyak 817 kad kredit klon dirampas.
“Dia ditahan selepas tiba dari Hong Kong dan kita masih siasat mengenainya,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.