AADK Tawau tahan 35 individu
Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Tawau menahan 35 individu disyaki penagih dalam serbuan di sekitar kawasan Balung Cocos dan pusat hiburan di Fajar, awal pagi semalam.
Operasi Perdana Siri 3 yang bermula jam 10 malam hingga 5 pagi itu adalah hasil kerjasama anggota Jabatan Imigresen Malaysia
(JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Penolong Pegawai AADK Sabah Erwan Roslan berkata, secara keseluruhan, seramai 45 individu berusia 18 hingga 40 tahun diarahkan menjalani ujian saringan air kencing sebelum 35 individu termasuk seorang wanita didapati positif dadah jenis methapethamine.
“Semua yang positif dadah dibawa ke AADK Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1), Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya pada sidang media di AADK Tawau, semalam.
Beliau berkata, dalam operasi itu, hasil kerjasama JIM diketuai Ketua Imigresen Tawau Noraini Rasi berjaya menahan lapan individu yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“Lapan individu iaitu lima warga Indonesia dan tiga lelaki Filipina ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan sah. Mereka yang berusia 24 hingga 80 tahun itu dibawa ke Pusat Tahanan
Sementara (PTS) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63,” katanya.