MASt perkemas prosedur
Kecekapan sistem dan prosedur sedia ada dalam pengurusan harian ketenteraan warga tentera darat diperkemaskan melalui piawaian Malaysia Army
Standard (MASt). Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim berkata, MASt adalah satu piawaian yang dipraktikkan dalam tentera darat dengan menjadi penanda aras dalam aspek pengurusan hariannya.
“MASt dijadikan sebagai panduan untuk membolehkan keberkesanan dan kecekapan sistem yang dapat diseragamkan bagi manfaat warga tentera darat.
“Ia diperkenalkan sejak 1 Jun 2016 dengan 18 MASt sudah dibangunkan dan dilaksanakan tentera darat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Inovasi dan Penulisan Esei Panglima Tentera Darat 2016 serta pelancaran Logo MASt di Kementerian Pertahanan di sini, semalam.
Acara tahunan itu memberi pengiktirafan kepada warga tentera darat yang mempamerkan kecemerlangan dalam penghasilan produk inovasi, selain mencambah kreativiti warga berkenaan dalam penulisan esei dan reka cipta.
Hadir sama, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.
Zulkiple berkata, standard itu menjadikan pengurusannya lebih berkualiti, berintegriti, cekap dan inovatif serta mampu berkhidmat dengan jitu.
Katanya, beliau percaya, penumpuan pada MASt dapat menjadikan pengurusan harian tentera darat berjalan lancar, lebih baik dan efisien.