Taiwan Excellence Pavillion pamer 5,000 produk
Putrajaya: Lebih 5,000 produk teknologi dan bermutu tinggi keluaran Taiwan dipamerkan menerusi Taiwan
Excellence Pavilion di pusat beli-belah IOI City Putrajaya bermula semalam hingga esok.
Pameran dianjurkan Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA) itu menampilkan peralatan sukan, kelengkapan rumah dan barangan teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT).
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TAITRA Walter Yeh berkata, penganjuran pameran kali kedua itu untuk memperluaskan lagi interaksinya dengan pengguna di Malaysia.
“Malaysia adalah rakan kongsi yang penting kerana ia rakan dagangan terbesar bagi Taiwan malah, kira-kira 16,000 pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran mereka di sana.
“Pameran ini bertujuan menjalin hubungan dua hala antara Taiwan dan Malaysia menerusi kerjasama dalam pelbagai sektor,” katanya pada Majlis Pelancaran Taiwan Excellence Pavilion di sini, semalam.
Hadir sama Wakil Ekonomi dan Budaya Taipei di Malaysia (TECO) James Chi-Ping Chang dan Presiden Persatuan Pelabur Taipei di Malaysia Dave Lin.
Yeh berkata, Taiwan Excellence memainkan peranan penting sebagai penghubung kepada pasaran antara dua negara dan membekalkan produk yang mencerminkan budaya teknologi tinggi serta canggih.
“Kami menyambut baik rakan niaga Malaysia yang ingin memasuki pasaran Taiwan dan bekerjasama memperluaskan produk mereka,” katanya.
Menurutnya, barangan dipamerkan kali ini adalah yang terbaik dari Taiwan kerana ia melalui proses pemilihan ketat daripada segi inovasi dan kualiti.