Harian Metro

Periksa pendawaian elektrik lebih 15 tahun

-

Pemilik rumah yang berusia 15 tahun ke atas disaran untuk membuat pemeriksaa­n terhadap sistem pendawaian elektrik kediaman masing-masing bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Azmi Osman berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa punca kebakaran yang membabitka­n kehilangan nyawa di negeri ini adalah disebabkan sistem pendawaian elektrik yang terlalu lama serta tidak pernah diselengga­ra.

Menurutnya, jumlah kematian akibat kebakaran di Selangor pada tahun ini adalah 14 orang dan ia menunjukka­n peningkata­n berbanding tahun lalu.

“Saya nasihatkan pemilik rumah buat pemeriksaa­n, kos mungkin tinggi, tetapi jika berlakunya kebakaran, kerugian mungkin lebih tinggi dan ia turut menyebabka­n ada nyawa terkorban.

“Selain itu, pemasangan jeriji disifatkan sebagai perangkap maut juga perlu dititikber­atkan pemilik rumah sebagai aspek pencegahan kebakaran,” katanya.

Beliau ditemui selepas Program Bomba Bersama Darul Tahfiz Ummul Qura, Seksyen 30 di sini, semalam.

Sementara itu, Azmi berkata, bomba akan turun padang bagi mengesan pusat tahfiz yang tidak berdaftar serta belum menjalani pemeriksaa­n keselamata­n di negeri ini.

Beliau berkata, sebanyak 283 pusat tahfiz di Selangor sudah diperiksa termasuk 38 daripadany­a tidak berdaftar, namun bomba percaya masih ada lagi institusi berkenaan yang terlepas pandang.

“Disebabkan kita tiada data mahu pun rekod, pasukan bomba akan menjelajah dan mencari serta buat pemeriksaa­n ke atas pusat-pusat tahfiz yang tidak berdaftar ini.

“Dalam pada itu, sebagai langkah berterusan bagi meningkatk­an kesedaran keselamata­n kebakaran, bomba akan mengadakan program bersama pusat tahfiz ini dan akan diteruskan pada tahun depan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia