Harian Metro

100 PERATUS

- Naqib Nor Said naqib@bh.com.my

 MHC lega skuad hoki di bawah Program Podium

Konfederas­i Hoki Malaysia (MHC) harus menarik nafas lega selepas persediaan skuad hoki lelaki negara bagi menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018 akan dibiayai sepenuhnya oleh Program Podium.

Itu janji Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN), Dr Khairi Zawi biarpun sebelum ini badan induk hoki negara itu pernah menawarkan diri bagi menanggung separuh perbelanja­an.

“Ya (seratus peratus bajet skuad hoki lelaki negara dibiayai Program Podium),” kata Dr Khairi semalam.

“Kami sudah tetapkan 24 pemain untuk skuad hoki lelaki negara diserap ke dalam Program Podium. Namun, jika MHC berniat membantu perbelanja­an mungkin untuk pemain yang berada di luar daripada senarai 24 pemain.”

Menerusi kejayaan skuad kendalian Stephen Van Huizen disenaraik­an ke dalam Program Podium, secara tidak langsung MHC dapat ‘menyelamat­kan’ kantung daripada terus mengeluark­an belanja yang besar kerana elaun pemain akan dibiayai sepenuhnya menerusi program elit itu. Difahamkan, badan induk hoki negara itu sebelum ini terpaksa berbelanja sekurang-kurangnya RM432,000 setahun berikutan langkah memberi elaun tambahan bulanan RM1,500 bagi setiap 24 pelatih lelaki skuad kebangsaan.

Langkah memberi elaun tambahan itu sebagai rangsangan buat pemain yang hanya menerima RM2,000 sebulan menerusi program Kita Juara 2017 sekali gus jika digabung menyaksika­n mereka memperoleh sekitar RM3,500 sebulan yang dianggap kecil bagi pencapaian tahap dunia dilakar skuad kebangsaan itu.

Sementara itu, Dr Khairi turut berjanji skuad hoki lelaki negara akan mendapat manfaat Program Podium sama seperti atlet individu dari segi elaun bulanan, kepakaran dan sokongan sains sukan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia