AMAN Malaysia komited bantu bawa pulang Norsuhaya, anak
AMAN Malaysia komited membantu membawa pulang Norsuhaya Mat Nassir, 22, bersama anaknya yang kini masih berada di Wilayah Magway, Myanmar.
Pengerusinya Datuk Mohamed Hazali Abu Hassan berkata, perbincangan awal sudah dilakukan dengan Wanita UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, baru-baru ini.
“Kini, kami berkomunikasi dengan beberapa pihak termasuk Wisma Putra, Kedutaan Malaysia di Myanmar dan Kedutaan Myanmar di sini.
“Aman Malaysia akan beri komitmen terbaik untuk memastikan misi membawa pulang Norsuhaya ke pangkuan keluarga dapat direalisasikan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Menurutnya, kini pihaknya berhubung rapat dengan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pengkalan Chepa Zarina Md Eusope yang menjadi perantara antara pihaknya dengan keluarga wanita terbabit.
“Perkembangan urusan ini akan kita maklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.