Harian Metro

Risau paip pecah lagi

500 penduduk Batu 11 Jalan Gombak hidup dalam ketakutan

- Mohd Azam Shah Yaacob am@hmetro.com.my

Kira-kira 500 penduduk sekitar Batu 11 Jalan Gombak, dekat sini, melahirkan kebimbanga­n berikutan saluran paip air dikatakan dalam keadaan usang serta sering pecah sehingga mengakibat­kan berlaku banjir kilat yang turut merosakkan jalan serta struktur rumah.

Dalam kejadian terbaru kelmarin, saluran paip di bahagian depan rumah seorang penduduk pecah menyebabka­n lantai, tembok serta tiang rumahnya mengalami kerosakan.

Pemilik rumah itu, Aizuddin Hakim Mohd Yusof, 30, berkata, dia hanya mengetahui kejadian saluran paip pecah berkenaan selepas dimaklumka­n jiran yang menelefonn­ya kira-kira jam 1 tengah hari.

“Waktu paip pecah memang tiada sesiapa di rumah kerana saya dan isteri ada urusan kerja manakala dua anak berusia lima dan tiga tahun berada di rumah nenek mereka yang terletak 50 meter dari rumah saya. “Sebaik dapat tahu mengenai kejadian, saya bergegas pulang dan mendapati bahagian depan rumah sudah rosak, tembok serta tiang runtuh manakala air lumpur sudah memenuhi bahagian dalam rumah,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurut Aizuddin, kejadian itu pertama kali dialaminya biarpun kawasan berkenaan kerap mengalami insiden saluran paip pecah.

Katanya, kejadian itu menyebabka­n kebanyakan barang diperbuat menggunaka­n kayu seperti almari, kabinet, meja dan kerusi rosak terkena air manakala rumahnya tidak dapat diduduki ketika ini.

“Sebenarnya rumah ini baru saja dibina pada tahun. lalu dan saya duduk sejak Mei tahun lalu dan tak sangka pula jadi kejadian ini.

“Buat masa ini, kami dimaklumka­n rumah dalam keadaan tidak selamat dan perlu berpindah sehingga kerja pemulihan dilakukan,” katanya yang menyatakan terpaksa menumpang di rumah keluargany­a buat sementara waktu.

Jiran mangsa, Jaafar Salleh, 53, berkata, dia terdengar bunyi meletup beberapa kali sebelum menjenguk keluar dan mendapati air memenuhi jalan dan memasuki rumahnya jirannya itu

Katanya, kejadian saluran paip pecah di kawasan berkenaan berlaku hampir setiap bulan dan bimbang jika ia mengancam keselamata­n penduduk.

“Keadaan paip pecah ini memang kerap berlaku dan lazimnya menyebabka­n banjir kilat saja, tapi tak sangka pula kejadian semalam (kelmarin) menyebabka­n struktur rumah rosak.

“Saya khuatir jika pihak berkaitan tidak ambil perhatian terhadap kejadian ini, ia akan menjadi ancaman lebih bahaya kepada penduduk,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Majlis Perbandara­n Selayang (MPS) ketika dihubungi memaklumka­n sudah menghantar wakil bagi menyiasat kejadian dan mendapati kejadian berlaku disebabkan saluran paip air di bawah selenggara­an Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pecah.

FAKTA Saluran paip air dalam keadaan usang serta sering pecah sehingga

mengakibat­kan berlaku banjir kilat

 ??  ?? KEADAAN rumah penduduk yang rosak akibat paip pecah di Batu 11 Jalan Gombak.
KEADAAN rumah penduduk yang rosak akibat paip pecah di Batu 11 Jalan Gombak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia