Harian Metro

MAKAN HATI DITEGUR SUAMI

-

Saya yang paling bongsu dan jarak usia saya dengan abang angkat 10 tahun. Boleh kata kasih diberikan pada saya melimpah dan tidak pernah berkurang.

Saya pernah bertemu dengan keluarga kandung setahun lalu atas urusan perkahwina­n. Selepas itu kami tidak pernah berhubung. Bagi saya perasaan terhadap keluarga kandung kosong dan kekok.

Saya tidak mengambil inisiatif kerana bagi saya keluarga angkat ialah keluarga saya sekarang. Suami menegur sikap saya yang tidak cuba bergaul dengan keluarga kandung.

Bagi saya itu bukan urusan dia dan seharusnya dia fokus kepada hal rumah tangga kami. Saya terasa hati dengan teguran suami dan mula dingin, apa perlu saya lakukan?

MONG Shah Alam, Selangor

Teguran suami itu demi kebaikan dan jangan terlalu ambil hati kerana dia menjalanka­n tanggungja­wabnya terhadap saudari.

Suami bukan sekadar memberi makan pakai sebaliknya dia bertanggun­gjawab memimpin dan sebagai contoh isu sikap saudari dingin terhadap keluarga kandung sudah tentu itu juga termasuk dalam perkiraan dia.

Saudari seharusnya hormat dan mendengar pandangan suami kerana dia menasihati ke arah kebaikan. Mulakan dengan merendahka­n ego saudari dan cuba muhasabah diri kini saudari mempunyai suami yang perlu dihormati.

Apatah lagi suami itu cukup dari segi menjaga amalan ibadatnya dan tinggi akhlaknya. Justeru, punca masalah mahupun konflik berlaku bukanlah disebabkan suami sebaliknya saudari yang pantang ditegur.

Cuba tuturkan kemaafan dan tundukkan ego dalam diri agar setiap teguran baik suami mahupun sesiapapun dapat masuk ke dalam hati.

Anggap setiap teguran diberikan ialah mesej mengatakan individu itu sayang dan kasihkan kita. Kita tentu tidak suka jika mereka buat tidak endah terhadap kita.

Ambillah sedikit masa untuk merenung teguran dan anggap ia untuk muhasabah diri. Mungkin dengan teguran ini kita boleh meneliti sejauh mana sikap dan perbuatan kita terhadap orang lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia